Lydia Ko terajui kejohanan

Lydia Ko terajui kejohanan

LOS ANGELES, 12 Jun (AFP) – Pemain nombor satu dunia, Lydia Ko yang dalam pemburuan gelaran ketiga major, merakamkan satu di bawah par 70 untuk mendahului dengan kelebihan satu pukulan pada pusingan ketiga Kejuaraan Wanita PGA, di sini, sebentar tadi.

Ko, 19, melakukan bogey di lubang terakhir untuk menamatkan saingan dua di bawah par 211 dengan dia mempunyai kelebihan dalam 54 lubang kejohanan utama buat kali pertama sepanjang kerjayanya.

“Saya gembira dengan kedudukan saya. Saya tidak pasti bagaimana ia berakhir kerana saya tidak dapat lihat kumpulan terakhir menamatkan saingan.

“Namun, sudah pasti saya perlu gembira dengan keputusan ini. Saya perlu kekal positif. Pemain lain bermain dengan baik dan konsisten.

“Saya hanya fokus kepada permainan saya, saya tidak boleh kawal untuk pemain lain. Jadi saya hanya melakukan yang terbaik dan ada 18 lubang lagi untuk bermain,” kata Ko.

Ko memenangi Kejuaraan Evian 2015 dan ANA Inspiration 2016.

Dengan kemenangan esok dalam pusingan akhir bakal menyaksikan dia menjadi pemain pertama menjuarai tiga kejohanan utama berturut-turut sejak Park In-Bee pada 2013.

Sementara itu, Gerina Piller yang menamatkan saingan dengan par 71 berkongsi kedudukan kedua bersama Brittany Lincicome 71-70-71.

Pemain Kanada, Brooke Henderson yang mengetuai saingan di pusingan pertama dan kedua mengalami kemerosotan prestasi apabila kehilangan tiga pukulan pada lima lubang pertamanya.

Dia merekodkan 73 buat kali kedua berturut-turut dan ketinggalan dua pukulan untuk berkongsi kedudukan keempat bersama pemain Thailand, Ariya Jutanugarn (68) dan Anna Nordqvist (69) dari Sweden.