Lydia raih kemenangan kedua

Lydia raih kemenangan kedua

LOS ANGELES, 4 April (AFP) – Pemain nombor satu dunia, Lydia Ko merangkul kejuaraan major golf kedua dalam kariernya menerusi kemenangan dramatik di ANA Inspiration selepas permainan teruk ditunjukkan pemain Thailand, Ariya Jutanugarn.

Pemain berusia 18 tahun dari New Zealand itu mengekalkan ketenangan untuk melakukan birdie menarik pada lubang ke-18 di Mission Hills Country Club dekat Rancho Mirage, California untuk mengumpul kemenangan major kedua berturut-turut.

Catatan tiga bawah par 69 dilakukan Ko memberikannya 12 bawah par secara keseluruhan dalam kejohanan itu, satu kurang daripada pemain England, Charley Hull dan wakil Korea Selatan, Chun In-Gee.

Lydia merangkul kejuaraan major golf kedua dalam kariernya menerusi kemenangan dramatik di ANA Inspiration selepas menewaskan Ariya Jutanugarn. – Reuters
Lydia merangkul kejuaraan major golf kedua dalam kariernya menerusi kemenangan dramatik di ANA Inspiration selepas menewaskan Ariya Jutanugarn. – Reuters

Ariya, yang mendahului dua pukulan berbaki tiga pusingan, menamatkan saingan dengan bogey pada lubang ke-16, 17 dan 18 untuk menamatkan saingan dengan 10 bawah par.

Ko ialah pemain wanita termuda pernah menjuarai dua kejuaraan major selepas kejayaan pada September lalu di Kejuaraan Evian. “Saya hanya mahu berseronok bermain dalam jelajah ini,” kata Ko.

“Berada dalam keadaan ini seperti mimpi menjadi kenyataan. Untuk menjadikan perkara ini realiti adalah sesuatu yang sukar dipercayai.”