Lyon kecundang, dinafikan penalti

PARIS, 12 Feb – Lyon meradang selepas dinafikan penalti separuh masa kedua, menyaksikan mereka mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam Ligue 1, dengan Rennes meraih kemenangan 2-0

Skuad Bruno Genesio menyasarkan tiga mata bagi merapatkan kedudukan dengan Marseille di tangga ketiga dan slot terakhir Liga Juara-Juara, namun mengharungi malam mengecewakan untuk bangkit daripada kekalahan oleh Bordeaux dan Monaco.

Rennes mendahului pada minit kelima, apabila tandukan teruk daripada pertahanan Lyon, Marcelo jatuh kepada Wahbi Khazri yang meluru ke gawang, dan bekas pemain sayap Sunderland itu tidak membuat kesilapan untuk menjaringkan gol ketujuhnya dalam liga musim ini.

Namun beberapa orang pemain Lyon naik angin pada minit ke-57 apabila pengadil perlawanan, Amaury Delerue menolak rayuan penalti selepas Nabil Fekir dijatuhkan oleh Jeremy Gelin ketika dia cuba membuat rembatan di hujung petak penalti.

Pemain Lyon, Nabil Fekir berbalah dengan pengadil Amaury Delerue selepas pengadil itu menolak rayuan penaltinya. – AFP

Fekir mempersoalkan keputusan pengadil selepas lebih seminit, sebelum dia dan rakan sepasukannya, Bertrand Traore dilayangkan kad kuning.

“Saya tidak pasti pengadil malam ini dalam keadaan terbaik untuk mengadili perlawanan ini,” kata presiden Lyon, Jean Michel Aulas.

“Terdapat sejumlah insiden dalam perlawanan luar di Caen (pada bulan Disember, di mana Delerue menjadi pengadil), telah dilaporkan oleh media.

“Kami tidak akan melihat kembali perlawanan itu dan ia tidak akan mengubah apa-apa, namun mereka adalah pengadil yang baik. Kadangkala mereka melakukan kesilapan dan tidak melihat perkara yang sudah jelas.” – AFP