Lyon sah ke Liga Juara-Juara

Lyon sah ke Liga Juara-Juara

PARIS, 8 Mei (AFP) – Pemain antarabangsa Perancis, Alexandre Lacazette meledak hatrik bagi membantu Lyon menewaskan Monaco yang bermain 10 pemain 6-1 dalam aksi Liga Perancis, malam tadi sekali gus mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara.

Penghuni tangga kedua, Lyon sebelum perlawanan itu berada di depan Monaco dalam carta liga berdasarkan perbezaan gol dan mereka terus mengukuhkan kedudukan itu dengan gol Rachid Ghezzal dan Lacazette dalam tempoh lapan minit babak pertama.

Mapou Yanga-Mbiwa menanduk masuk gol ketiga selepas penyerang pasukan pelawat, Lacina Traore dibuang padang dan Lacazette sekali lagi menerjah jaring gol Monaco sebelum Ricardo Carvalho meledak gol keempat sebelum tamat babak pertama.

Yanga-Mbiwa terus menambah derita Monaco apabila menjaringkan gol kedua peribadi sebelum Lacazette melengkapkan hatrik dalam perlawanan itu.

Lacazette ketika menjaringkan bola ke dalam gawang pada aksi perlawanan antara Olympique Lyonnais dan AS Monaco di Stadium baru di Perancis. – AFP
Lacazette ketika menjaringkan bola ke dalam gawang pada aksi perlawanan antara Olympique Lyonnais dan AS Monaco di Stadium baru di Perancis. – AFP

Kemenangan itu menyaksikan Lyon mengesahkan slot ke saingan kumpulan Liga Juara-Juara dan menjadi naib juara liga di belakang Paris Saint Germain (PSG) untuk musim kedua berturut-turut serta dibantu kelebihan jaringan dimiliki mereka ke atas Monaco dengan berbaki satu perlawanan lagi.

Sejak menamatkan rekod tanpa kalah PSG pada Februari, Lyon tidak pernah tewas dan kemenangan malam tadi adalah yang kelapan daripada 10 perlawanan.

“Ia bagaikan mimpi, ia adalah di luar jangkaan kami. Saya bangga kerana mencapai matlamat (layak ke Liga Juara-Juara) yang dilihat bukan mudah pada Januari lalu. Kami bermula dengan baik dalam perlawanan ini dan terus fokus sehingga tamat perlawanan,” kata jurulatih Lyon, Bruno Genesio.

Monaco pula terpaksa menunggu untuk mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara dan kedudukan mereka di tangga ketiga kini tergugat selepas Nice menewaskan Saint-Etienne 2-0 bagi merapatkan jurang kepada dua mata untuk berada dalam kelompok tiga teratas slot terakhir ke saingan elit Eropah itu.