Maaf Kyrgios tidak cukup buat Wawrinka

Maaf Kyrgios tidak cukup buat Wawrinka

CINCINNATI, AS, 20 Ogos – Stan Wawrinka menuduh ‘budak jahat’ Australia, Nick Kyrgios tidak meminta maaf dengan sempurna kepadanya atas kenyataan mengejutkan terhadap bintang tenis Switzerland itu, sebelum ini.

Wawrinka yang juga pemain ranking kelima dunia mara ke pusingan ketiga Cincinnati Masters namun terpaksa bergelut sebelum menewaskan pemain Croatia, Borna Coric 3-6, 7-6 (7/3), 6-3.

Kyrgios menjadi tumpuan akhbar seluruh dunia minggu lalu selepas mengeluarkan kenyataan berbaur hinaan terhadap Wawrinka yang membabitkan teman wanitanya, Donna Vekic di Montreal.

Pilihan kelima kejohanan itu, Wawrinka mengakui kontroversi itu masih bermain dalam mindanya dan ia terbukti ketika pertembungan menentang Coric yang menyaksikannya tewas pada set pertama sebelum bangkit.

Kyrgios sudah didenda ATP atas tindakannya dan sudah pun mengeluarkan kenyataan maaf dan menegaskan kedua-dua mereka berada dalam keadaan “panas ketika itu” namun Wawrinka berkata permohonan maaf itu tidak mencukupi.

Wawrinka (kanan) menuduh ‘budak jahat’ Nick Kyrgios (kiri) tidak meminta maaf dengan ikhlas selepas mengeluarkan kenyataan bebaur penhinaan. – AFP
Wawrinka (kanan) menuduh ‘budak jahat’ Nick Kyrgios (kiri) tidak meminta maaf dengan ikhlas selepas mengeluarkan kenyataan bebaur penhinaan. – AFP

“Dia tidak meminta maaf bersungguh-sungguh kepada orang ramai. Dia patut melakukannya. Ia mudah,” kata Wawrinka.

“Ada begitu banyak kemarahan di bilik persalinan mengenai apa yang dia lakukan. Sebagai pemain, kamu lebih mengerti apa yang dilakukannya dan apa akibatnya terhadap kehidupan peribadi orang yang terbabit.

“Ia bukannya sekadar dengan beberapa perkataan. Satu ayat, dia boleh menyakitkan hati ramai orang. Saya memperoleh banyak sokongan di bilik persalinan, ia sudah tentu,” katanya.

Begitupun, Wawrinka yang sudah bercerai dengan isterinya menegaskan perkara itu tidak akan mengganggu persiapannya menjelang Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS).

“Saya tahu bagaimana diri saya, saya tahu bagaimana untuk bersedia ke Grand Slam. Saya tahu bagaimana untuk berhadapan dengan apa saya. “Saya yakin saya akan bersedia untuk Terbuka AS,” kata pemenang dua kali gelaran Grand Slam itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA