MAB muktamadkan tempahan enjin bernilai AS$630 juta

MAB muktamadkan tempahan enjin bernilai AS$630 juta

PUTRAJAYA, 22 Sept – Malaysia Airlines Bhd (MAB) telah memuktamadkan tempahan enjin LEAP-1B bernilai AS$630 juta dengan CFM International untuk 25 pesawat Boeing 737 MAX.

CFM International, pembekal terkemuka dunia bagi enjin pesawat komersial, merupakan syarikat usaha sama 50-50 antara General Electric (GE) dan Safran Aircraft Engines.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan berkata tempahan enjin itu dijadualkan penghantaran pada tahun 2020.

Pemeteraian perjanjian antara MAB dan CFM International berlangsung di sini hari ini, disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut kenyataan itu lagi, MAB juga telah membeli hak untuk 25 lagi pesawat tambahan Boeing 737 MAX yang dikuasakan dengan LEAP-1B. Enjin LEAP-1B merupakan yang paling maju, boleh dipercayai, cekap bahan api untuk kumpulan pesawat Boeing 737 MAX.

Menurut kenyataan itu, enjinnya yang kurang berat dan ketahanan lebih tinggi memberikan hasil peningkatan 15 peratus dalam kecekapan bahan api, dengan pengurangan setara dalam pengeluaran karbon dioksida. “Kami percaya enjin LEAP baharu ini akan memberi kelebihan ekonomi dalam  operasi dari segi kecekapan bahan api dengan kebolehpercayaan yang sama daripada CFM,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MAB Peter Bellew dalam kenyataan itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA