Macam-macam ada di Tutong

Macam-macam ada di Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 1 Nov – Pelbagai acara menarik di bawah Program Destinasi Tutong sepanjang bulan November dan Disember 2015 telah disusun bagi mengangkat keunikan warisan dan budaya etnik Daerah Tutong selain menggalakkan aktiviti-aktiviti perekonomian dan kemasyarakatan di daerah ini.

Antara program yang akan diadakan ialah Program Hari Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Etnik Daerah Tutong anjuran bersama Majlis Perundingan Mukim Pekan Tutong, Majlis Perundingan Kampung Keriam dan Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) Tutong dan Jabatan Kemajuan Pelancongan bermula pada 2 November hingga 29 November 2015.

Program tersebut bakal mempersembahkan keunikan dan keindahan seni warisan budaya lima etnik Daerah Tutong di samping demonstrasi makanan dan kraf tangan serta penyajian makan malam berkonsepkan “Lakanon Tutong” (Sajian Warisan Tutong), bertempat di Dewan Utama Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Manakala pada 6 hingga 8 November pula akan diadakan Car Booth Sale bertempat di Taman Rekreasi Sungai Basong.

Selain itu, Daerah Tutong juga mengadakan Pasar Malam Ria Tutong yang berkonsepkan aneka jenis jualan pada setiap bulan bermula pada hari Khamis hingga hari Ahad, jam 5 petang hingga 11 malam bertempat di kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.

Program-program yang disusun ini setentunya akan meningkatkan kesedaran masyarakat di Daerah Tutong dengan rasa kekitaan terhadap potensi dan berbagai peluang yang terdapat di Daerah Tutong untuk sama-sama terlibat dan mendokong aktiviti-aktiviti yang telah disusun dalam sama-sama memajukan daerah ini.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengunjungi dan meramaikan lagi program-program yang diaturkan di bawah Program Destinasi Tutong bagi bulan November dan Disember 2015 ini.

ARTIKEL YANG SAMA