Macri: Messi anugerah Tuhan

Macri: Messi anugerah Tuhan

BUENOS AIRES, 29 Jun (AP) – Presiden Argentina bercadang menemui Lionel Messi minggu depan untuk memujuknya supaya kembali ke pasukan kebangsaan.

Presiden Mauricio Macri berkata, dia sudah bercakap dengan Messi menerusi telefon berhubung persaraannya daripada pentas antarabangsa sejurus gagal membantu Argentina membawa pulang trofi Copa America Centernario selepas kalah 4-2 di tangan Chile, menerusi sepakan penentuan penalti Ahad lalu.

Messi dan rakan pasukan lain selamat tiba ke bandaraya ini semalam tetapi enggan memberi sebarang komen berhubung persaraannya.

Macri berkata, beliau memberitahu Messi supaya “melupakan hal yang tak masuk akal” kerana Argentina sebenarnya gembira dengan penampilan bintang Barcelona itu sepanjang membantu Argentina. Messi yang menyertai Barcelona pada usia 13 tahun sering dikritik di tanah air sendiri kerana gagal membawa pulang trofi kejohanan besar meskipun banyak membantu kejayaan kelabnya.

Tiga orang budak lelaki bergambar di depan patung Lionel Messi yang baru dirasmikan di Paseo de la Gloria kelmarin. – AFP
Tiga orang budak lelaki bergambar di depan patung Lionel Messi yang baru dirasmikan di Paseo de la Gloria kelmarin. – AFP

Tambah perit, peminat bola selalu membandingkan pencapaiannya dengan bekas bintang negara itu, Diego Maradona yang mengetuai Argentina menjuarai Piala Dunia 1986. Macri berkata, dia tidak faham mengapa kritikan ditujukan kepada Messi sedangkan warga Argentina sewajarnya gembira dengan bakat Messi yang dianggap anugerah istimewa daripada Tuhan.

“Hakikatnya kita bernasib baik mendapat anugerah Tuhan, diberikan pemain terbaik dunia kepada negara kita yang sememangnya negara yang gilakan bola sepak,’’ katanya.

Macri juga bekas Presiden Kelab Boca Juniors. Cadangan Macri bertemu Messi itu mungkin dibantu dengan satu perhimpunan rakyat di tengah Buenos Aires yang sememangnya menjadi tumpuan penduduk.

Sokongan kepada Messi amat luar biasa dengan pelbagai lapisan masyarakat daripada golongan artis, ahli politik dan peminat meminta Messi kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan.

ARTIKEL YANG SAMA