Madrid sukar ‘bertambah baik’

Madrid sukar ‘bertambah baik’

MADRID, 1 Sept – Presiden Real Madrid Florentino Perez menegaskan skuad juara Eropah itu ‘mustahil bertambah baik’ selepas musim perpindahan tenang yang tidak tipikal.

Perez yang terkenal berbelanja beratus juta euro sebelum ini untuk pemain seperti Cristiano Ronaldo, Gareth Bale dan James Rodriguez telah menghadkan perbelanjaan kepada hanya 30 juta euro (AS$33.5 juta) untuk pembelian balik Alvaro Morata dari Juventus.

“Kami telah memenangi Piala Super Eropah dan dua permainan pertama La Liga,” Perez berkata mengenai permulaan 100 peratus Real musim ini. “Kami mempunyai skuad yang hebat dan mustahil untuk bertambah baik.”

Madrid merayu larangan perpindahan setahun yang dikenakan FIFA bagi membolehkan mereka menandatangani pemain baru pada musim panas ini. Larangan itu menghalang mereka daripada mengambil pemain baru sehingga Januari 2018.

Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran Hyun Shick Cho Hankook Tire bersama Florentino Perez semasa sidang media selepas menandatangani kontrak perkongsian global di Madrid kelmarin untuk tiga musim bermula Julai lalu. – AP
Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran Hyun Shick Cho Hankook Tire bersama Florentino Perez semasa sidang media selepas menandatangani kontrak perkongsian global di Madrid kelmarin untuk tiga musim bermula Julai lalu. – AP

Zidane mengilhamkan perubahan nasib luar biasa Madrid selepas dilantik sebagai jurulatih pada Januari dan membawa Real untuk menjulang Piala Eropah ke-11.

Lelaki Perancis itu awal-awal membayangkan kelab gergasi Sepanyol itu pasti senyap semasa jendela pasaran perpindahan dibuka. Setelah menakluki Eropah, tekanan kini pada Zidane untuk menjulang kejuaraan liga pertama untuk Madrid dalam tempoh lima tahun.

“Zidane, semua pasukan teknikal beliau dan para pemain sedar tanggungjawab mereka dan mahu menunjukkan apa yang mereka mampu lakukan,” kata Perez. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA