Maghribi skuad pertama ke Piala Negara-Negara Afrika 2017

Maghribi skuad pertama ke Piala Negara-Negara Afrika 2017

JOHANNESBURG, 30 Mac (AFP) – Maghribi muncul pasukan pertama melayakkan diri ke Piala Negara-Negara Afrika 2017 selepas menewaskan Cape Verde 2-0 di Marrakech, awal pagi tadi.

Penyerang bintang Youssef El Arabi meledak dua kali di awal babak kedua, yang pertama menerusi sepakan penalti selepas pemain lawan dilayangkan kad merah.

Maghribi mendahului Kumpulan F dengan kelebihan enam mata ke atas Cape Verde dengan dua perlawanan berbaki dan kelebihan pertemuan antara mereka apabila turut menewaskan pasukan kepulauan itu Sabtu lalu di Praia.

Pengendali dari Perancis, Herve Renard yang membawa Zambia dan Ivory Coast untuk kejuaraan benua itu dalam tiga kejohanan lalu, menggantikan Badou Zaki sebagai pengendali Maghribi sebulan lalu.

Mesir dan Senegal juga semakin hampir dengan pusingan akhir 16 pasukan kejohanan itu manakala Nigeria tersingkir dan Afrika Selatan bakal menyusul.

Gol babak kedua daripada Ramadhan Sobhy memberikan Mesir kemenangan 1-0 dalam saingan Kumpulan G di Alexandria manakala Moussa Konate dan Papa Souare membantu Senegal menang 2-1 di Niger dalam saingan Kumpulan K.

Juara tujuh kali, Mesir hanya memerlukan satu mata daripada kunjungan ke Tanzania pada Jun dan Senegal juga hanya perlu seri dalam baki dua perlawanan menentang Burundi dan Namibia untuk memastikan tempat di Gabon tahun depan.

ARTIKEL YANG SAMA