MaGIC lahir ramai usahawan

MaGIC lahir ramai usahawan

CYBERJAYA, Sept 9 – Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) akan membuka pintunya untuk bekerjasama dengan negara maju bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang bertumpu kepada inovasi dan kreativiti global.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata kerjasama dengan negara seperti United Kingdom, Singapura, Korea Selatan dan Amerika Syarikat akan menjadi langkah penting bagi pertumbuhan seseorang usahawan.

“Walaupun negara-negara itu jauh ke depan dalam inovasi dan kreativiti, mereka masih mahu bekerjasama dengan MaGIC yang jelas menunjukkan bahawa kita berupaya mencipta satu letusan dalam revolusi keusahawanan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Akademi MaGIC 2015, di sini, hari ini.

Mohd Irwan yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan, berkata MaGIC akan memainkan peranan utama dalam pelancaran Program Pemecut Malaysia selama empat bulan bagi mempercepat kohort 75 syarikat permulaan dari rantau ASEAN.

“Kami benar-benar percaya usahawan tempatan boleh mendapat faedah daripada kohort yang pelbagai dan inspirasi untuk memanfaatkan pasaran ASEAN yang besar,” katanya.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah (dua ,kiri) bersama peserta MaGIC Academy di Pusat MaGIC hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC Cheryl Yeoh (kanan). – Bernama
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah (dua ,kiri) bersama peserta MaGIC Academy di Pusat MaGIC hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC Cheryl Yeoh (kanan). – Bernama

Mengenai Akademi MaGIC, Mohd Irwan berkata simposium empat hari bermula hari ini itu akan dimuatkan dengan kandungan dan kegiatan yang memberi faedah kepada usahawan berminat serta syarikat permulaan sedia ada di negara ini, dengan sasaran pencari pekerjaan serta usahawan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Cheryl Yeoh berkata simposium Akademi MaGIC dianjurkan susulan kejayaan besar Akademi Permulaan MaGIC tahun lepas dan simposium tahun ini akan menumpukan kepada pembangunan keusahawanan dan perusahaan sosial.

“Kira-kira 3,500 peserta akan didedahkan kepada pengetahuan dan kemahiran dengan matlamat mengembangkan ekosistem perusahaan sosial di Malaysia.

“Simposium juga akan menumpukan kepada keperluan usahawan seperti model perniagaan dan pembangunan produk, pemasaran dan operasi, kewangan dan pembiayaan serta bakat dan kebudayaan,” katanya. Yeoh berkata sejak penubuhannya pada 2013 hingga sekarang, MaGIC telah melatih kira-kira 16,000 usahawan.

Matlamat MaGIC ialah untuk menjadi pemangkin dalam ekosistem keusahawanan di Malaysia serta membawa masuk sumber daripada rakan kongsi dan komuniti, dan membangunkan usahawan daripada perusahaan permulaan yang mempunyai pertumbuhan tinggi dan berdaya tahan yang akan membawa kesan positif pada peringkat rantau atau global. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA