Magnussen bakal sertai F1 Renault

Magnussen bakal sertai F1 Renault

LONDON, 29 Jan – Pelumba Denmark, Kevin Magnussen hampir pasti akan dibawa masuk ke dalam pasukan Formula Satu (F1) Renault bagi menggantikan pelumba Venezuela Pastor Maldonado, perkara itu dilaporkan stesen televisyen Sky Sports dan laman web pakar F1.

Jurucakap kepada pasukan yang berpangkalan di Britain itu yang dikenali sebagai pasukan Lotus pada musim lalu, bagaimanapun enggan memberi komen mengenai spekulasi terbabit apabila dihubungi oleh Reuters.

Renault dijangka akan memperkenalkan barisan pemandunya dan struktur pengurusan pasukan dalam satu acara di Paris, Rabu depan.

Masa depan Maldonado mula tidak menentu sejak Renault mengumumkan kepulangan mereka sebagai pengeluar selepas mengambil alih pasukan F1 yang dilanda masalah kewangan itu pada bulan lalu.

Mula mencipta nama dengan pasukan Williams pada 2012, Maldonado turut dipalit reputasi sering mengalami kemalangan, sekali gus menjadikan dia pelumba yang banyak menghabiskan masa bersama stewart perlumbaan selain menjadi bahan gurauan di laman sosial.

Kevin Magnussen yang bakal menggantikan Pastor Maldonado bagi pasukan F1 Renault. – Reuters
Kevin Magnussen yang bakal menggantikan Pastor Maldonado bagi pasukan F1 Renault. – Reuters

Sebelum ini dia ditaja syarikat minyak nasional Venezuela PDVSA, dengan anggaran sekitar 20 juta pound menurut beberapa laporan media.

Namun, menurut BBC menerusi sumbernya pada awal bulan ini, melaporkan kelewatan pembayaran selama beberapa minggu daripada PDVSA. Begitupun syarikat itu tidak berminat untuk memberi komen.

Autosport.com juga merujuk kepada satu sumber yang enggan dinamakan, melaporkan semalam bahawa Magnussen bersedia untuk menandatangani perjanjian itu dalam beberapa hari lagi.

Tambahnya, bagaimanapun, masih wujud peluang kecil berlaku perubahan untuk PDVSA untuk kembali ke meja rundingan dan menandatangani perjanjian baharu bagi menyelamatkan masa depan Maldonado.

Magnussen, 23, dilepaskan MCLaren pada Oktober lalu selepas penampilan cemerlang pada kempen 2014 termasuk penamat podium pada perlumbaan pertama di Australia. Dia kini dilihat kerap mengunjungi kilang Lotus.

Andai benar, dia akan bergandingan pelumba muda Britain, Jolyon Palmer untuk pasukan terbabit. – Reuters