Ma’had Pengambilan 1990 muncul juara

Ma’had Pengambilan 1990 muncul juara

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh HMJ08

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Pasukan Pengambilan 1990 muncul juara dalam Kejohanan Bola Sepak 7 Orang Sepasukan bagi bekas pelajar Ma’had Islam Brunei Pengambilan 1984 hingga 2009 yang berlangsung di Padang Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah di Ibu Kota baru-baru ini.

Kejohanan berkenaan merupakan anjuran Stesen Minyak Syarikat Amanah Haji Abdullah dengan kerjasama Kelab Bola Sepak Kilanas yang disertai 24 pasukan dan dua pasukan jemputan iaitu daripada Ahli Keluarga Stesen Minyak Syarikat Amanah Haji Abdullah dan Kelab Bola Sepak Kilanas.

Pasukan pengambilan 1990 di peringkat akhir terpaksa berhadapan dengan Pasukan Pengambilan 1998 (B) yang berakhir dengan jaringan 3-0 di pihak Pengambilan 1990 dan berada di tempat ketiga kejohanan adalah Pasukan Pengambilan 1999 (A) yang menang melalui penentuan penalti yang berkesudahan dengan jaringan 3-1 menentang pasukan Pengambilan 1993.

Timbalan Menteri Pendidikan menyampaikan piala kepada johan bagi kejohanan yang julung-julung kali diadakan itu.
Timbalan Menteri Pendidikan menyampaikan piala kepada johan bagi kejohanan yang julung-julung kali diadakan itu.
Gambar ramai barisan pemenang di akhir majlis berkenaan.
Gambar ramai barisan pemenang di akhir majlis berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat dalam peringkat akhir kejohanan tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar yang turut berkesempatan meniup wisel perlawanan akhir di majlis itu.

Menurut Pengerusi Bersama Kejohanan, Haji Ameerulbahraynee bin Haji Abdul Hamid, kejohanan ini adalah merupakan anjuran yang julung-julung kali diadakan setelah lebih 20 tahun Ma’had Islam Brunei ditubuhkan.

Katanya lagi, kejohanan ini merupakan satu aktiviti menyatukan antara semua pengambilan bermula pengambilan 1984 hingga 2009 yang pernah menuntut di Ma’had Islam Brunei dan berterima kasih yang tidak terhingga atas sokongan penyertaan dan pihak-pihak lain yang turut menjayakan kejohanan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA