Maharaja Jepun galak perdamaian negara jiran

Maharaja Jepun galak perdamaian negara jiran

MANILA, 27 Jan – Maharaja Jepun Akihito hari ini menggesa generasi lebih muda supaya ‘terus menghidupkan kenangan Perang Dunia Kedua’ dan kepayahan yang menyusul selepas itu, sebagai cara mengelak konflik di tengah ketegangan maritim yang meningkat di Laut China Timur dan Selatan.

Akihito, 82 tahun, yang mengadakan pertemuan dengan Presiden Filipina Benigno Aquino secara tidak terbuka pada permulaan lawatan negara empat hari, melahirkan rasa kesal di atas kekejaman di rantau itu oleh tentera empayar Jepun 70 tahun lalu.

Maharaja mahu mengingatkan anak-anak muda yang tidak pernah mengalami peperangan supaya tidak melupakan kepayahan akibat darinya yang dialami oleh Jepun dan negara-negara Asia lain, setiausaha media baginda, Hatsuhisa Takashiima, memberitahu para pemberita di ibu negara Filipina.

“Ia adalah perkara yang tidak seharusnya kita ulangi lagi,” Takashima menambah kata.

“Perasaan baginda begitu mendalam pada peperangan dan itu adalah sebab baginda datang ke sini.”

Maharaja Akihito dan Maharani Michiko ketika memberi penghormatan di pusara hero-hero Filipina yang gugur semasa perang dengan meletakkan jambangan bunga di Libingan ng mga Bayani, Taguig, Metro Manila pada 27 Januari. – Reuters
Maharaja Akihito dan Maharani Michiko ketika memberi penghormatan di pusara hero-hero Filipina yang gugur semasa perang dengan meletakkan jambangan bunga di Libingan ng mga Bayani, Taguig, Metro Manila pada 27 Januari. – Reuters

Menurutnya maharaja Jepun, yang semasa kecil baginda telah mengalami ketakutan peperangan, bimbang generasi lebih muda tidak akan terus menghidupkan kenangan pada Perang Dunia Kedua.”

Apabila baginda menjadi putera muda, Akihito telah dihantar ke pergunungan untuk lari dari pengeboman Amerika di Tokyo. Baginda kembali selepas perang dan mendapati ibu negara dalam kemusnahan dan rakyat mengalami kepayahan.

Ulasan maharaja itu dibuat ketika ketegangan serantau meningkat ketika China lebih tegas dengan tuntutannya ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan, yang dipercayai memiliki mendapan besar minyak dan gas.

Tetapi Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam mempunyai tuntutan bertindih. China dan Jepun saling bersaingan bagi kepulauan di laut China Timur yang dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China.

Akihito yang ditegah oleh perlembagaan Jepun dari sebarang peranan politik, kerap menggesa negaranya supaya tidak melupakan penderitaan akibat peperangan dan cuba menggalakkan perdamaian dengan negara-negara jiran. – Reuters