Maharaja Jepun mungkin turun takhta

Maharaja Jepun mungkin turun takhta

TOKYO, 8 Ogos – Maharaja Akihito hari ini bertitah, usia yang lanjut dan faktor kesihatan bermakna Baginda tidak lagi dapat menjalankan tugasnya, sekali gus membayangkan Baginda akan turun takhta.

“Ada kalanya saya rasa pelbagai kekangan seperti kecergasan fizikal saya,” titah maharaja Jepun berusia 82 tahun itu kepada seluruh warga negara Matahari Terbit.

“Memandangkan kita hidup dalam kalangan masyarakat yang cepat dimamah penuaan, Beta mahu bertitah hari ini mengenai peranan wajar maharaja ketika usianya semakin lanjut,” demikian titah Baginda.

Spekulasi mengenai masa depan Maharaja Akihito muncul bulan lepas dengan kenyataan Baginda setelah bertitah kepada setiawan istana tentang hajat Baginda untuk turun takhta dalam beberapa tahun terdekat, dalam apa yang bakal menjadi penurunan pertama dari Takhta Bunga Kekwa dalam tempoh dua abad.

“Beta bimbang ia menyukarkan Beta untuk menjalankan tugas sebagai lambang negara ini dengan segala kemampuan seperti yang telah Beta lakukan sehingga kini,” titah Baginda yang memakai sut gelap sambil duduk di depan meja dalam satu video prarakam.

Maharaja Akihito bertitah secara tidak langsung – tanpa menyebut perkataan turun takhta dan menegaskan Baginda secara sah dihalang daripada mengulas mengenai sistem imperial tetapi penganalisis dan media berkata hasrat Baginda sudah jelas.

“Baginda maharaja mengisyaratkan akan turun takhta,” menurut edisi tambahan dua halaman akhbar harian Yomiuri Shimbun.

Komen-komen ini akan membolehkan kerajaan untuk mula mewujudkan mekanisme undang-undang untuk raja turun takhta, yang malangnya pada masa ini tidak wujud dalam sistem perlembagaan Jepun.

Perdana Menteri Shinzo Abe dalam tindak balas pantasnya berkata, kerajaan mengambil serius kenyataan Baginda. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA