Mahasiswa belajar ketam padi

Mahasiswa belajar ketam padi

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 21 Feb – Seramai 26 orang mahasiswa-mahasiswi dan siswazah termasuk pensyarah dari Kesusasteraan Melayu, Program Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian Melayu, Universiti Brunei Darussalam (UBD) kelmarin mengadakan aktiviti mengetam padi di Jalan PDS, Kampung Kebia Tutong.

Turut hadir selaku ketua rombongan ialah pensyarah UBD, Dr. Maslin bin Haji Jukim/Jukin.

Semasa rombongan UBD tiba di kawasan tersebut, pemilik tempat mengetam padi, Awang Galis bin Asang dan Awang Sain bin Dungok telah mengalu-alukan kehadiran rombongan.

Aktiviti dimulakan dengan mengetam padi dan seterusnya belajar cara-cara mengetam padi bersama pemilik padi.

Salah seorang mahasiswi mengamati padi yang sudah masak.
Salah seorang mahasiswi mengamati padi yang sudah masak.

Aktiviti mengetam padi adalah salah satu aktiviti kelab UBD iaitu Kelab Rakis yang mengungkayahkan pelbagai jenis aktiviti luar universiti termasuk riadah dan sukarelawan.

Antara objektif aktiviti itu diadakan adalah untuk mendekatkan mahasiswa-mahasiswi dan siswazah kepada alam sekitar dengan aktiviti mengetam padi serta mendorong belia merasai sendiri kejerihan para pengusaha padi.

Dengan adanya aktiviti tersebut, secara tidak langsung, mahasiswa-mahasiswi UBD akan menghargai usaha nenek moyang yang tekun membanting tulang empat kerat mengusaha padi secara tradisional.

ARTIKEL YANG SAMA