Mahasiswa disaran rebut peluang keemasan

Mahasiswa disaran rebut peluang keemasan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Mahasiswa perlu merebut peluang keemasan semaksimum mungkin dalam perkongsian ilmu dan pengalaman melalui Program Makmal Sosio-Akademik ISDEV-UNISSA pertama.

Perkara itu ditekankan oleh Timbalan Rektor Universiti Islam Sultan Shariff Ali (UNISSA) Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad ketika merasmikan Program Pertama ISDEV-UNISSA itu di Hotel Antarabangsa Rizqun hari ini.

Menurutnya lagi, hubungan kedua-dua peserta program dari berlainan universiti seharusnya tidak putus dengan berakhirnya program itu, bahkan perlu diperkukuh dan dieratkan lagi sampai bila-bila.

Beliau percaya program sebegini akan dapat memberikan impak yang besar dan signifikan kepada para siswazah bagi kedua-dua universiti, khususnya dalam menyuntik semangat siswazah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) untuk meningkatkan kemahiran bahasa Arab mereka dan meneruskannya apabila pulang ke tanah air nanti.

“Ditambah lagi dengan perisian program Khatam Al-Quran UNISSA-ISDEV selama sebulan akan dapat mempertingkatkan kecintaan para siswazah kepada Bahasa Arab yang merupakan bahasa Al-Quraan dan bahasa ibadat,” jelasnya.

Beliau juga percaya dengan adanya aktiviti sosial seperti khidmat masyarakat, sukan, lawatan dan aktiviti kenali Negara Brunei Darussalam nanti akan dapat mengeratkan silaturahim dan muhibah sesama siswazah di samping memperoleh ilmu dan pengalaman yang berharga.

Kolaborasi siswazah yang melibatkan UNISSA dan ISDEV, Universiti Sains Malaysia (USM) ini merupakan program yang julung-julung kalinya diadakan.

Mobiliti para siswazah ini adalah bagi memanfaatkan memorandum persefahaman yang telah dimeterai antara UNISSA dan USM sebelum ini.

Pengendalian program kunjungan akademik siswazah ISDEV ini diusahakan oleh pelajar siswazah UNISSA di bawah seliaan Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa dan Pusat Pengajian Lepas Ijazah.

Antara objektif program ini ialah bagi mendedahkan para siswazah ISDEV kepada pembelajaran Bahasa Arab secara formal dan informal yang juga bagi memperkenalkan masyarakat dan tradisi budaya Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA