Mahasiswa UBD perlu berfikiran positif

Mahasiswa UBD perlu berfikiran positif

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Orang ramai termasuk mahasiswa-mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini, menghadiri taklimat motivasi sempena Minggu Aspirasi Islam (IAW) yang diadakan di Dewan Inspiring, Pusat Pelajar UBD, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang dianjurkan oleh Eksekutif Keagamaan dan Kerohanian (EKK) dan Majlis Perwakilan Pelajar 2015/2016 itu ialah Pegawai Ugama Hal Ehwal Pelajar UBD, Dayangku Siti Norainul Fathni binti Pengiran Haji Tajuddin yang juga selaku penyelaras dan penasihat IAW.

Taklimat disampaikan oleh Presiden Kesatuan Graduan UBD, Awang Muhd Nuriskandar bin Mohd Hasnan yang menyentuh mengenai motivasi para pelajar dalam mengubah fikiran individu kepada lebih kreatif dan membawa kepada yang baru. Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai krisis ekonomi global sebagai cabaran masa kini dan memberi nasihat kepada para hadirin terutama mahasiswa-mahasiswi UBD untuk lebih berfikiran positif berbanding negatif.

Minggu Aspirasi Islam yang berlangsung selama seminggu sejak 14 Mac lalu menjadi platform UBD merealisasikan aspirasi negara menjadi sebuah Negara Zikir dengan pelbagai persembahan daripada Kelab EKK, taklimat motivasi dan pertandingan serta pameran daripada kelab-kelab yang menyertainya.

Tetamu kehormat (tiga kiri) mendengarkan taklimat daripada Awang Muhd Nuriskandar.
Tetamu kehormat (tiga kiri) mendengarkan taklimat daripada Awang Muhd Nuriskandar.
Antara Mahasiswi UBD yang hadir pada taklimat motivasi tersebut.
Antara Mahasiswi UBD yang hadir pada taklimat motivasi tersebut.

Tahun ini, IAW membawa tema ‘The Unseen Garden’ yang menggambarkan pengertian syurga di mana setiap umat Islam berharap untuk mencapai redha Allah S.W.T agar dapat memasukinya.

IAW yang sudah pun memasuki tahun keenam, menampilkan lapan buah petak pameran yang antara lain menerangkan kehebatan dan bukti-bukti kewujudan Allah melalui Al-Quran, cara saintifik, fakta dan sebagainya, tambahnya lagi.

Setiap petak pameran juga akan mengadakan aktiviti-aktiviti permainan berkaitan dengan tema IAW dan setiap aktiviti ini akan memberikan pengajaran kepada para pengunjung.

Orang ramai khususnya para belia dapat menimba ilmu mendalami serta memahami kehebatan Allah S.W.T di samping meningkatkan lagi kesedaran mengenai kepentingan Al-Quran dan sejarah Nabi Muhammad S.A.W.

ARTIKEL YANG SAMA