Mahasiswa UBD sertai ARCS

Mahasiswa UBD sertai ARCS

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Seorang mahasiswi lepasan ijazah dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini, telah menyertai 63 orang pelajar dari 51 buah negara Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) dalam Persidangan Rektor dan Forum Pelajar ASEM ke-5 (ARC5) yang diadakan di Prague, Republik Czech.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Dayangku Salimatul Sa’ada binti Pengiran Mohd Saleh telah dipilih oleh Yayasan Asia-Eropah (ASEF) daripada 3,400 permohonan dari seluruh Asia dan Eropah untuk menyertai forum berkenaan sebagai perwakilan pelajar dari Brunei.

ARC yang diadakan pada 4 hingga 7 April lalu itu merupakan Rakan Dialog Rasmi Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan ASEM (ASEM ME), dengan tema kali ini ialah ‘Employability: Asia and Europe Prepare the New Generation’ yang memfokuskan kepada kemahiran kebolehan bekerja.

Ini termasuk perbincangan mengenai bagaimana kerjasama di antara universiti-universiti, perniagaan dan kerajaan dapat menyediakan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan dan kecekapan untuk lebih bersedia dan menyesuaikan generasi baru bagi pasaran buruh. Berdasarkan perbincangan kumpulan tertumpu, para peserta ARC5 bersama-sama menghasilkan cadangan-cadangan dasar yang disusun dan diserahkan kepada ASEM ME6 tahun depan.

Dayangku Salimatul Sa’ada dipetik sebagai berkata, pengangguran belia, termasuk dalam kalangan lepasan universiti, adalah isu global yang perlu ditangani.

“Saya percaya bahawa ARC menyediakan platform yang baik baginya kerana ia membolehkan suara-suara pelajar didengar oleh pemimpin-pemimpin pendidikan dan pembuat dasar, serta membolehkan kerjasama di antara pelajar-pelajar Asia-Eropah untuk meneroka cara-cara yang boleh membentuk sistem pendidikan dengan lebih baik bagi kebolehan bekerja di kedua-dua rantau,” tambahnya.

Beliau seterusnya berkata, antara perkara utama yang ditekankan sepanjang perbincangan itu adalah kepentingan kurikulum yang mesra kebolehan bekerja, perkongsian swasta dan awam dalam membuat pembaharuan ke atas sistem pendidikan, pembangunan kemahiran insani dalam kalangan pelajar, fleksibiliti dan penyesuaian kepada perubahan dalam ekonomi baru, serta berusaha ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs).

Menurut kenyataan itu lagi, di samping sesi-sesi plenari dan kumpulan kerja, perhimpunan itu turut diisi dengan bengkel-bengkel kemahiran yang dipimpin oleh para pelatih dari pelbagai industri, serta lawatan rasmi dan tidak rasmi ke beberapa buah tempat, termasuk Kementerian Hal Ehwal Luar Negara dan lawatan kebudayaan di Prague.

Dayangku Salimatul juga mengambil peluang untuk menunjukkan salah satu tarian tradisi Brunei semasa Malam Kebudayaan Asia-Eropah.

Turut hadir dari Brunei Darussalam ialah Naib Cancelor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz dan Penolong Naib Canselor UBD, Dr. Joyce Teo Siew Yean yang merupakan perwakilan bagi Persidangan Recktor ARC5 pada 6 hingga 8 April.

ARTIKEL YANG SAMA