MAHB catat pe...

MAHB catat peningkatan pergerakan penumpang

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Pergerakan penumpang di lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SGIA), meningkat 5.7 peratus kepada 118.5 juta pada 2016, berbanding 2015.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, trafik antarabangsa meningkat 6.1 peratus kepada 52.8 juta penumpang manakala domestik merekodkan 65.7 juta pergerakan penumpang dengan pertumbuhan 5.4 peratus berbanding pada 2015.

“Pergerakan pesawat keseluruhan berkembang 0.9 peratus dengan pergerakan antarabangsa dan domestik mencatatkan pertumbuhan masing-masing 1.5 peratus dan 0.6 peratus,” menurut MAHB dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut syarikat itu, lapangan terbang di Malaysia mencatatkan 88.8 juta pergerakan penumpang, pertumbuhan 6.0 peratus berbanding 2015.

Sektor antarabangsa pula merekodkan kenaikan pergerakan penumpang sebanyak 8.0 peratus kepada 43.2 juta berbanding 2015.

Sementara itu, sebanyak 45.6 juta pergerakan penumpang dicatatkan sektor domestik, peningkatan 4.1 peratus, daripada 2015.

Lapangan terbang di Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Langkawi, Alor Setar, Ipoh, Tawau and Mulu merupakan antara yang mencatatkan peningkatan trafik kukuh tahun lepas.

Menurut MAHB, pertumbuhan trafik sebanyak 6.0 peratus tahun lepas menunjukkan permintaan sedia yang belum direalisasikan untuk perjalanan udara.

“Adalah amat menggalakkan apabila momentum pertumbuhan penumpang antarabangsa, tahun ke tahun, menjadi lebih baik pada separuh kedua 2016, meningkat daripada 5.0 peratus pada separuh pertama kepada 11.0 peratus semasa separuh kedua,” menurut syarikat itu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA