MAHB optimis pasaran 2016

MAHB optimis pasaran 2016

SEPANG, 8 Dis – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) optimis dapat menguasai sebahagian pasaran pengembara pada 2016, dirangsang oleh usaha kerajaan yang melonggarkan proses mendapatkan visa.

Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali berkata terdapat banyak cabaran pada tahun ini seperti jerebu, kesan tragedi berganda MAS (MH370 dan MH17) serta insiden-insiden udara lain.

“Kami melihat ke depan. Sekarang pun kami lihat sudah ada lonjakan pengembara dari China. Bagi 2016, MAHB optimis kerana kerajaan telah mengumumkan yang ia akan mengeluarkan e-visa kepada China dan India.

“Ini bagus untuk industri jika semuanya berjalan seperti yang dirancang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Indulge and Explore Campaign’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini, hari ini.

Badlisham berkata sebelum ini industri menjangka sekitar 100 juta penumpang akan mengembara mengelilingi dunia setiap tahun.

Ditanya mengenai sasaran MAHB, beliau berkata: “Kami mahu pastikan dapat menarik perhatian yang sewajarnya dan akan umumkan unjuran kami untuk 2016.”

Mengenai kempen itu, Badlisham berkata kempen selama tiga bulan yang bermula semalam (7 Disember) sehingga 6 Mac depan, akan memberi ganjaran kepada pengembara untuk membeli-belah dan menjamu selera di terminal KLIA dan klia2 sambil membuka peluang untuk mereka meneroka.

Sebagai tambahan, pengembara juga berpeluang menjadi sukarelawan dalam Program ‘Panda Experience’ sebagai hadiah utama kempen.

Beliau berkata kempen juga bertujuan meningkatkan kefahaman tentang pemuliharaan dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga pengembara antarabangsa.

“Malaysia Airports adalah penyokong amalan lestari. Kami merupakan lapangan terbang pertama di dunia yang menggembleng hutan hujan dalam terminal kami.

Kempen ini adalah lanjutan daripada pegangan kami – betapa perlu dan pentingnya melestarikan ekosistem kita,” katanya.

Untuk menyertai pertandingan itu, pengembara mesti berbelanja minimum RM200 di mana-mana outlet makanan dan minuman di terminal KLIA/klia2 dan imbas resit pembelian di satu daripada 14 e-kiosk yang terletak di terminal.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena pelancaran kempen, MAHB berkata maklumat yang diperoleh oleh e-kiosk akan dimuat naik oleh pelayan komputer yang kemudian akan memilih pemenang mingguan secara rawak, selama 13 minggu.

Hadiah-hadiah mingguan yang ditawarkan termasuk tujuh pakej ‘Lovina Dolphin Experience’ untuk dua orang di Lovina, Bali serta enam pakej ‘New Leaf Detox Programme’ untuk dua orang di Koh Samui, Thailand.

Pengembara juga berpeluang menggandakan penyertaan apabila menggunakan kad Mastercard semasa membeli-belah. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA