Mahkamah anak negeri masih relevan

Mahkamah anak negeri masih relevan

KUDAT, 11 Nov (Bernama) – Kewujudan Mahkamah Anak Negeri masih relevan dalam usaha menjaga perpaduan, identiti dan adat resam setiap komuniti di Sabah dan Sarawak, kata Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum.

Beliau berkata kedua-dua negeri itu dianggarkan mempunyai empat hingga lima juta populasi masyarakat pribumi yang masih mengamalkan adat resam sejak turun temurun.

“Adat resam sesuatu komuniti itu perlu dipelihara dan dikekalkan,” katanya kepada pemberita selepas Bengkel Pengenalan kepada Mediasi bagi pemimpin-pemimpin masyarakat Kudat di sini hari ini.

Bengkel dua hari bertemakan ‘Menyatupadukan Desa Untuk Perpaduan Negara’ dirasmikan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Kapor.

Malanjum yang juga Presiden Mahkamah Rayuan Anak Negeri berkata walaupun Mahkhamah Anak Negeri adalah institusi yang mengadili kesalahan-kesalahan adat, namun setiap permasalahan timbul dalam kalangan komuniti perlu diselesaikan secara mediasi.

Menurut Malanjum, sehingga kini sebanyak 40 kes dari Mahkhamah Anak Negeri sedang dibicarakan di Mahkamah Rayuan Anak Negeri melibatkan kes keluarga, tanah dan fitnah.