Mahkamah AS benarkan perkahwinan songsang

Mahkamah AS benarkan perkahwinan songsang

WASHINGTON, 28 Jun (Agensi) – Mahkamah Agung memutuskan semalam bahawa Perlembagaan Amerika Syarikat (AS) memberikan hak kepada pasangan sejenis untuk berkahwin dalam kemenangan bersejarah untuk gerakan hak homoseksual di AS.

Mahkamah berkenaan membuat keputusan 5-4 bahawa Perlembagaan AS menjamin perkahwinan sejenis sebagai saksama di bawah undang-undang negara. Keputusan tersebut bermakna perkahwinan homoseksual adalah sah di semua 50 negeri di AS.

Hakim Anthony Kennedy yang menulis bagi pihak mahkamah berkenaan menyatakan, keputusan itu memberi harapan kepada pasangan homoseksual yang ingin berkahwin agar mereka tidak perlu menjalani kehidupan penuh sepi tanpa institusi rumah tangga.

Mereka katanya, meminta hak saksama di sisi undang-undang dan Perlembagaan AS memberikan hak tersebut.

Dalam pendapat berbeza, Hakim Antonin Scalia menegaskan bahawa keputusan itu merupakan satu ancaman ke atas demokrasi AS.

Pada masa ini, terdapat 13 negeri di AS yang mengharamkan perkahwinan homoseksual.

Keputusan Mahkamah Perlembagaan itu adalah yang paling penting di AS sejak keputusan pada 1967 yang membubarkan larangan perkahwinan berlainan bangsa.