Mahkamah India tolak rayuan halang perogol bebas

Mahkamah India tolak rayuan halang perogol bebas

NEW DELHI, 22 Dis (AFP) – Mahkamah Agung India semalam menolak rayuan untuk menghalang pembebasan tertuduh paling muda dalam kes kematian dan rogol beramai-ramai di negara itu sekali gus menimbulkan kemarahan anggota keluarga mangsa.

Ketika kemarahan orang ramai memuncak berhubung keputusan mahkamah membebaskan tertuduh berusia 20 tahun itu, panel Hakim Mahkamah Agung berkata, tiada asas perundangan untuk meluluskan petisyen oleh Suruhanjaya Delhi Untuk Wanita yang mahu pembebasan pemuda itu dari sebuah pusat pemulihan akhlak dibatalkan.

Dua hakim mahkamah itu, A. K. Goel dan U, U. Lalit memberitahu, ‘tiada peruntukan undang-undang’ yang membolehkan mereka mengarahkan pesalah tersebut kembali ditahan.

“Kami memohon pe­rintah sementara bagi menghalang pembebas­annya tetapi mahkamah tidak melayan permohon­an ini. Seluruh sistem perundangan negara ini mengecewakan kaum wanita,” kata pengerusi suruhanjaya tersebut, Swati Maliwal kepada wartawan di luar mahkamah di sini.

Swati Maliwal menjawab soalan wartawan di luar Mahkamah Agung India di New Delhi semalam. – AFP
Swati Maliwal menjawab soalan wartawan di luar Mahkamah Agung India di New Delhi semalam. – AFP

Mangsa, Jyoti Singh, 23, kini menjadi simbol nasib wanita di India yang berdepan dengan keganasan seksual yang dahsyat.

“Apa yang boleh saya katakan lagi? Tiada ungkapan untuk menggambarkan kekecewaan kami. Kami tidak memahami langsung semua undang-undang ini. Kami cuma tahu sistem ini telah mengecewakan kami,” kata bapa mangsa, Badrinath Singh.

Banduan yang tidak boleh dinamakan atas faktor perundangan itu merupakan seorang daripada enam individu yang menculik Jyoti ketika pelajar fisioterapi tersebut pulang daripada menonton wayang bersama seorang rakan lelaki.

Mereka mengumpan gadis tersebut ke dalam sebuah bas kosong sebelum bergilir-gilir memperkosanya seterusnya menusuk pancang besi ke dalam badan mangsa dan dicampakkan di tepi jalan. Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dua minggu kemudian di sebuah hospital di Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA