Mahkamah larang pesalah berhubung dengan saksi

Mahkamah larang pesalah berhubung dengan saksi

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_150704_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Mahkamah Tinggi, hari ini, telah mengubah syarat-syarat jaminan ke atas seorang pegawai kanan kerajaan yang bakal menghadapi perbicaraan bagi tuduhan mencuri dan memalsukan cek dengan menyekatnya daripada berhubung secara langsung atau tidak langsung dengan saksi pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Abdul Raafe’ bin Haji Ibrahim memohon kepada Hakim Dato Paduka Steven Chong untuk mengingatkan Amirrudin bin Haji Junaidi supaya tidak berhubung dengan saksi pendakwaan dan berbincang mengenai kes itu.

Tertuduh didapati telah berhubung dengan saksi pendakwaan yang akan menjalani perbicaraannya pada April tahun depan.

Pada sebutan Julai lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Dato Paduka Steven Chong.

Tertuduh ketika itu dibebaskan dengan ikat jamin $10,000 atau dua orang penjamin tempatan.

Tertuduh untuk pertuduhan pertama didakwa mencuri dua keping cek kosong dari kediaman mangsa pada 25 Februari 2015 yang mana kesalahan ini membawa hukuman penjara maksimum yang boleh dilanjutkan sehingga tujuh tahun dan juga denda.

Untuk pertuduhan kedua dan keempat, tertuduh didakwa telah memalsukan dua cek kosong milik mangsa dengan menulis namanya sebagai penerima, masing-masing berjumlah $60,000 dan $40,000.

Bagi pertuduhan ketiga dan kelima, tertuduh didakwa menggunakan cek itu pada dua tarikh berlainan iaitu 26 Februari 2015 dan 10 Mac 2015.

Pertuduhan kedua hingga kelima itu membawa kepada hukuman penjara maksimum yang boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun dan denda.

ARTIKEL YANG SAMA