Mahkamah: Panggilan telefon dipintas dedah kumpulan pencerobohan

Mahkamah: Panggilan telefon dipintas dedah kumpulan pencerobohan

KOTA KINABALU, 19 Okt – Satu perbualan telefon yang dipintas mendedahkan satu kumpulan yang dipersalahkan bagi kematian banyak orang dalam insiden pencerobohan Lahad Datu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Pegawai pemprosesan pintasan komunikasi, yang memberikan keterangan sebagai saksi dilindungi, berkata suspek dikenali Panglima Alimal @ Tani memberitahu seorang individu dikenal pasti ‘Pak Haji’ bahawa satu insiden telah berlaku akibat perbuatan kumpulan itu.

“Tani berkata (kepada Pak Haji) yang dia tidak tahu di mana ‘mereka’ berada dan seterusnya berkata ‘semua ini berlaku akibat perbuatan mereka dan telah menyebabkan banyak mangsa mati,” kata saksi itu menerusi jurubahasa mahkamah yang memakai fon telinga untuk mendengar keterangan saksi itu.

Saksi itu yang dikenali sebagai SBM, memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan kumpulan lelaki Sulu yang bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

SBM memberitahu mahkamah perbualan itu dipintas pada 9 Mac, 2013 pada 5.12 petang.

Saksi itu turut memintas perbualan telefon antara individu dikenali ‘Si Jamal’ dan seorang lelaki tidak dikenal pasti dikenali ‘Lelaki Sabah’ dan ‘Si Jamal’ menyatakan dia berasa serba salah kerana ‘Nur Misuari’ telah ‘berubah hati’.

“Si Jamal memberitahu Lelaki Sabah bahawa ‘mereka’ yang berada di Semporna turut mempunyai pendirian sama (seperti Nur Misuari).

“Lelaki Sabah memberitahu Si Jamal untuk mengarahkan ‘beliau’ untuk menghubungi Cawangan Khas (SB) di Semporna,” kata saksi itu.

Semasa ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin, sama ada saksi tahu siapakah Nur Misuari, SBM menjawab, tidak. Saksi itu juga tidak tahu siapa yang memberi arahan supaya menghubungi SB Semporna.

Sebanyak 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan menghadapi antara satu dan beberapa pertuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. Mereka juga didakwa telah merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau sengaja melindungi individu yang mereka tahu ialah anggota kumpulan pengganas. – Bernama