Mahkamah putuskan pemandu Uber bersalah

Mahkamah putuskan pemandu Uber bersalah

NEW DELHI, 20 Okt – Seorang pemandu Uber India hari ini didapati bersalah merogol seorang penumpang wanita muda di ibu negara tahun lalu, dalam kes yang ditonjolkan yang mencetuskan kebimbangan baru keselamatan di sebuah bandar yang diganggu oleh keganasan seks.

Uber telah ditegah dari beroperasi di Delhi selepas serangan 5 Disember lalu itu, yang telah mencetuskan tuduhan bahawa ia gagal menjalankan pemeriksaan latar belakang mencukupi, meskipun tegahan itu tidak pernah sepenuhnya dikuatkuasakan. Mahkamah Delhi mendapati Shiv Kumar Yadav bersalah merogol wanita berusia 25 tahun itu ketika dia pulang ke rumah dari makan malam bersama rakan-rakannya di bandar India.

“Shiv Kumar Yadav telah disabit bersalah atas semua tuduhan ke atasnya,” kata Hakim Kaveri Baweja.

Yadav akan dijatuhi hukuman pada 23 Oktober selepas didapati bersalah atas empat tuduhan – rogol, culik, mengugut dan mengakibatkan kecederaan.

Peguam bela Dharmender Kumar Mishra mengatakan kliennya akan merayu perbicaraan itu di mahkamah tinggi, mengatakan siasatan itu ada ‘kecacatan’.

Sejurus selepas serangan itu, diketahui bahawa Yadav dituduh menyerang wanita lain meskipun dia tidak mempunyai sabitan sebelumnya. Yadav dibicarakan oleh mahkamah segera khas yang diperkenalkan dalam tahun 2013 ekoran kes rogol berkumpulan yang mengakibatkan kematian seorang pelajar di dalam bas di Delhi, satu jenayah yang mengejutkan negara dan mencetuskan bantahan marah tentang layanan India pada kaum wanita.

Kejadian rogol yang dilakukan oleh pemandu Uber berlaku beberapa hari sebelum ulang tahun kedua serangan dahsyat itu yang mengakibatkan Delhi mendapat julukan ‘bandar rogol’ India dan mengembalikan isu keganasan ke atas wanita menjadi tumpuan. Mangsa pada serangan 5 Disember itu yang tidak dapat didedahkan namanya berkata dia telah menaiki sebuah teksi ketika pulang ke rumah dari makan malam bersama rakan-rakan.

Dia memberitahu polis apabila dia tersedar dari tidur-nya dia mendapati teksi itu berada di tempat terpencil yang mana kemudian pemandu itu menyerang dan merogolnya, sebelum meninggalkannya berhampiran rumahnya di utara Delhi. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA