Mahkamah sokong persetujuan tentera AS

Mahkamah sokong persetujuan tentera AS

MANILA, 12 Jan (AFP) – Mahkamah Tinggi Filipina hari ini memerintahkan perjanjian ketenteraan dengan AS adalah berperlembagaan, yang memberi laluan bagi kehadiran lebih ramai pasukan tentera di bekas koloni Amerika itu ketika ketegangan meningkat di Laut China Selatan.

Perjanjian 10 tahun itu yang telah ditandatangani pada tahun 2014 tetapi tidak dilaksanakan disebabkan cabaran undang-undang, akan menyaksikan lebih ramai anggota tentera AS bergilir-gilir di Filipina bagi perang olok-olok dan membantu negara tuan rumah membina pangkalan tentera.

Jurucakap Mahkamah Tinggi Theodore Te berkata perjanjian itu disokong dengan 10-4 undi, dengan perintah mahkamah bahawa kerajaan Presiden Benigno Aquino mempunyai kuasa untuk menandatangani perjanjian itu dan tidak perlukan kelulusan kongres.

Perjanjian itu “cuma melaksanakan undang-undang dan perjanjian yang sedia ada,” kata Te.

Aquino telah merundingkan perjanjian itu untuk membantu negara Asia Tenggara meningkatkan kemampuan ketenteraannya dan membawa AS lebih rapat lagi, sebahagiannya dalam usaha untuk menangani kehadiran China yang cepat meluas di kawasan-kawasan Laut China Selatan yang dipertikaikan yang berhampiran Filipina.

Presiden AS Barack Obama juga menggesa bagi Perjanjian Peningkatan Kerjasama Pertahanan (EDCA) sebagai sebahagian ‘paksi’ strategiknya ke Asia yang melibatkan perluasan kehadiran ketenteraan Amerika di rantau itu.

Bagaimanapun ia berdepan cabaran undang-undang dari kumpulan yang membantah penglibatan ketenteraan AS di Filipina, sebuah jajahan AS dari tahun 1898 hingga 1946.

Filipina telah menjadi tempat pangkalan tentera AS luar negara terbesar sehingga 1992 ekoran undi Senat Filipina untuk menamatkan pajakan mereka yang dipengaruhi sentimen anti AS.

Perjanjian EDCA ditandatangani pada April 2014 apabila Obama melawat Manila, apabila beliau berkata itu akan memberikan pasukan tentera AS ‘kemudahan lebih luas kepada pangkalan Filipina, lapangan terbang dan pelabuhan yang akan terus di bawah kawalan Filipina”.

Para pegawai Filipina juga sebelumnya berkata ia akan membenarkan AS untuk menyimpan peralatan yang boleh digunakan untuk mempersiapkan pasukan tentera AS lebih pantas – terutamanya dalam kes bencana alam seperti taufan yang kerap melanda negara kepulauan itu.

ARTIKEL YANG SAMA