Mahkamah tentera Pakistan hukum mati 9 militan

Mahkamah tentera Pakistan hukum mati 9 militan

ISLAMABAD, 1 Jan (AFP) – Mahkamah Tentera Pakistan telah menjatuhkan hukuman mati ke atas sembilan lelaki atas kesalahan berkaitan pengganasan atau serangan terhadap puak minoriti Syiah, menurut tentera hari ini.

Pakistan telah menghukum gantung lebih 300 orang sejak membatalkan moratorium ke atas hukuman mati pada Disember 2014, kebanyakan mereka disabit bersalah dalam mahkamah tentera tertutup yang pengkritik katakan gagal memenuhi standard perbicaraan adil.

“Hari ini, Ketua Turus Tentera mengesahkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas sembilan lagi pengganas tegar, yang terlibat dalam melakukan kesalahan sangat kejam berkaitan pengganasan,” menurut kenyataan tentera.

Mereka termasuk Muhammad Ghauri, seorang anggota Taliban Pakistan yang berkaitan dengan serangan ke atas masjid garison di Rawalpindi yang membunuh 38 orang dan mencederakan 57 yang lain pada Disember 2009.

Juga dihukum adalah aktivis Harkatul Jehad-e-Islam, Abdul Qayyum, yang berkaitan dengan satu serangan bom kereta nekad ke atas ibu pejabat Perisikan Antara Perkhidmatan di bandar tengah Multan yang membunuh tujuh orang dan mencederakan 72 yang lain pada Disember 2009.

Dua yang lain berkaitan dengan serangan ke atas tentera, sementara lima dikatakan anggota sektarian Ahli Sunah, Sipah-e-Sahaba Pakistan yang membunuh lima Syiah di bandar timur Lahore.

Perbicaraan mereka diadakan secara tertutup, dengan tiada maklumat di mana atau bila mereka ditahan, bagaimana prosiding itu didedahkan dan butiran lanjut tentang jenayah mereka.

ARTIKEL YANG SAMA