Mahkamah tolak permohonan tangguh wanita tempatan

Mahkamah tolak permohonan tangguh wanita tempatan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160701_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang menolak permohonan seorang wanita tempatan agar hukuman penjara 30 bulan yang dikenakan ke atasnya atas kesalahan menipu dan memalsukan dokumen ditangguhkan sementara menunggu rayuannya didengar.

Keputusan itu dibuat Hakim Dato Paduka Steven Chong yang mengatakan tidak ada sebab khas bagi mahkamah untuk mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan hukuman ke atas Vivi Yanti binti Haji Mohd Jali yang berusia 33 tahun itu.

Vivi Yanti mengaku bersalah atas 18 pertuduhan kerana menipu enam individu dengan menjanjikan mereka bahawa dia dapat mendapatkan tender kerajaan untuk mereka dan turut memalsukan dokumen dengan menggunakan surat tawaran dan surat tender daripada pelbagai agensi kerajaan yang dialamatkan kepada individu terbabit.

Terdahulu, Peguam Haji Mohd Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman yang mewakili Vivi Yanti memberikan alasan penangguhan hukuman kerana kliennya mempunyai anak damit berusia tujuh bulan yang masih menyusu badan.

Anaknya sebelum ini telah tinggal bersama anak guamnya di penjara selama seminggu.

Timbalan Pendakwa Raya, Emily Goh yang membantah bagi penangguhan hukuman itu menghujahkan bahawa pihak penjara ada menyediakan kemudahan untuk anak damit tinggal bersama ibunya, dan ini adalah untuk menjamin anak damit itu mendapat pemakanan dan perkembangan yang diperlukan.

Vivi Yanti dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Majistret pada 21 April 2016 di mana mahkamah telah menolak permohonan penangguhan hukuman sebaliknya memerintahkan hukuman berkuat kuasa pada tarikh tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 2011 dan 2014, dan memperolehi $29,380 daripada mangsa yang ditipunya.

ARTIKEL YANG SAMA