Mahkamah tolak rayuan kurang denda

Mahkamah tolak rayuan kurang denda

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun dijatuhi denda $2,600 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan memiliki rokok seludup pada 2014.

Pengiran Sallehudin bin Pengiran Haji Mohd Yusuf didakwa memiliki sembilan karton rokok ketika ditahan oleh pegawai kastam yang bertugas di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 3 November 2014 kira-kira jam 12:15 tengah hari.

Pemeriksaan yang dijalankan menemui rokok-rokok itu disimpan di dalam bantal yang diletakkan pada kerusi penumpang belakang dan juga di bawah alas kaki pemandu dan penumpang depan.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin memberi tempoh sehingga 23 Mei untuk defendan membayar denda itu, dan jika gagal berdepan 11 minggu penjara.

Defendan yang kelihatan tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah merayu untuk denda dikurangkan lagi yang mana Majistret Kanan memberitahunya, denda itu sudah cukup rendah.

pg06_160225_mahkamah logo

Defendan yang masih tidak berganjak daripada rayuannya turut diberi amaran oleh Majistret Kanan Haji Nabil supaya menghormati keputusan mahkamah atau tempoh tiga bulan yang diberikan untuk membayar denda akan ditarik balik mahkamah.

“Saya akan berusaha untuk membayar denda itu dalam tempoh yang diberikan,” kata defendan sambil memohon maaf atas langkah mempersoalkan kata putus mahkamah.

Terdahulu, defendan yang tidak bekerja dan mempunyai tujuh orang anak yang masih bersekolah merayu untuk membayar $50 setiap bulan namun Majistret Kanan terpaksa menolaknya atas sebab pembayaran sejumlah itu akan mengambil tempoh lebih dari empat tahun.

“Bagaimana kamu menyara keluarga kamu, jika kamu tidak bekerja,” tanya Majistret Kanan di mana defendan menjawab bahawa dia hanya mengharapkan duit pencen.

Pegawai Pendakwa Kastam dalam fakta kesnya menyebut, cukai yang seharusnya dibayar oleh defendan untuk membawa masuk rokok-rokok itu ialah $420.

Ketika disoal-siasat, defendan mengaku rokok yang dibelinya di Limbang itu adalah untuk dirinya dan juga keluarganya.

ARTIKEL YANG SAMA