Mahkamah tolak tuduhan Arroyo

Mahkamah tolak tuduhan Arroyo

MANILA, Filipina, 19 Julai – Mahkamah Tinggi Filipina hari ini menolak tuduhan memperoleh wang secara tidak sah yang dikenakan ke atas bekas presiden Gloria Macapagal Arroyo, dan mengarahkan dia dibebaskan serta-merta dari tahanan hospital selama lima tahun.

Jurucakap Mahkamah Tinggi Theodore Te berkata 15 orang hakim mengundi 11-4 untuk membenarkan rayuan Arroyo yang memohon kes itu diketepikan di mahkamah anti rasuah kerana ketiadaan bukti. Kes itu melibatkan dakwaan penyalahgunaan 366 juta peso dana Philippine Charity Sweepstakes Office.

Arroyo, 69 tahun, yang menghidap penyakit leher, telah menamatkan penggal sembilan tahun kepimpinannya pada tahun 2010, tetapi diberkas pada tahun berikutnya atas dakwaan rasuah pilihan raya, yang mana dia telah diberi izin ikat jamin. Dakwaan memperoleh wang secara tidak sah kemudian dikenakan ke atasnya.

Meskipun diletakkan di bawah tahanan, dia telah dilantik semula dalam Kongres pada Mei lalu.

Arroyo ditahan di bawah kepimpinan bekas Presiden Benigno Aquino III yang menuduhnya terlibat dengan rasuah dan kepimpinan salah.

Pengganti Aquino, Rodrigo Duterte bagaimanapun mengambil pendirian berlainan, dengan mengatakan kes pemerolehan wang secara tidak sah yang dibuat ke atasnya adalah lemah dan memberikannya pengampunan untuk memberi laluan bagi pembebasannya.

Arroyo menolak tawaran itu, dengan mengatakan dia perlu didakwa terlebih dahulu untuk melayakkannya mendapat pengampunan, dan dia lebih suka melawan tuduhan itu.

Duterte telah melantik sebilangan sekutu Arroyo ke dalam kabinetnya, termasuklah para penasihatnya berhubung keselamatan negara dan rundingan damai dengan gerila Marxist dan Islam. – AP

ARTIKEL YANG SAMA