Mahkota Maju diiktiraf API

Mahkota Maju diiktiraf API

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 3 April – Mahkota Maju Sdn Bhd telah menjadi syarikat tempatan pertama di Brunei Darussalam untuk menyediakan kursus-kursus dari American Petroleum Institute (API) yang berkaitan dengan kerja-kerja ‘lifting’ dalam industri minyak dan gas pada awal Februari tahun ini.

Pengurus Latihan di Mahkota Maju, Haji Ibrahim bin Haji Mahmud berkata, API telah mengesahkan tujuh kursus yang dijalankan di tapak syarikat mereka di kawasan perindustrian Sungai Bera, dengan kumpulan pertama menamatkan pengajian minggu lepas dalam ‘Rigging’ dan ‘Slinging’.

“Perkara ini sememangnya baik (dalam menawarkan kursus API) kepada kita dan komitmen kami untuk mempunyai sebuah pusat latihan yang diiktiraf,” kata Haji Ibrahim ketika ditemui, minggu lalu, pada majlis penyampaian sijil bagi kumpulan pertama yang melengkapkan kursus API di Mahkota Maju.

Beliau berkata, proses mendapatkan kelulusan daripada API untuk menjalankan kursus mereka mengambil masa lima bulan, dengan lebih banyak kursus API pada masa akan datang, kemungkinan berdasarkan permintaan industri.

Tujuh kursus API yang mengambil masa dua hingga empat hari, menyediakan latihan kemahiran untuk pengendalian bahan, kren dan peralatan mengangkat.

Gambar ramai pada acara pengiktirafan Mahkota Maju.
Gambar ramai pada acara pengiktirafan Mahkota Maju.

“Objektif utama (kursus itu) adalah untuk mewujudkan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran praktikal dalam menjalankan tugas yang melibatkan ‘lifting’ dan ‘hoisting’,” kata Hj Ibrahim.

Duta Besar Amerika Syarikat ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig B. Allen berkata, hubungan API dan Mahkota Maju membuatkan latihan untuk pekerja tempatan berfungsi secara lebih berkesan dari segi kos, dengan mengurangkan pergantungan negara kepada penyedia latihan luar negara tanpa menjejaskan kualiti.

Wakil API untuk Asia Tenggara dan Australia, Eric Ho, pula menekankan mereka juga berpeluang meluaskan perkhidmatan kepada lebih banyak negara di peringkat antarabangsa.

“Sebagai sebuah badan antarabangsa yang mempunyai sejarah panjang (lebih 100 tahun), kursus latihan yang diperolehi dari segi standard kami membawa banyak nilai kepada para pelatih kerana mereka diiktiraf di peringkat antarabangsa,” kata Eric.

Lima daripada lapan orang graduan pertama adalah dari Syarikat Minyak Brunei Shell dan selebihnya dari Syarikat DNV GL.