Mahmud berjaya tangguh bayaran mutaah RM30j

Mahmud berjaya tangguh bayaran mutaah RM30j

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) – Anak kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir bin Tun Abdul Taib hari ini berjaya menangguhkan pelaksanaan perintah pembayaran mutaah berjumlah RM30 juta terhadap bekas isterinya, Shahnaz Abdul Majid.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Muhamad Abdul Karim Wahab membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh ahli perniagaan itu melalui peguamnya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Dalam penghakimannya, katanya mahkamah membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan keseluruhan fakta dan hujahan yang dikemukakan bagi mengelak kemudaratan kepada kedua-dua pihak.

Katanya mahkamah mengambil kira kesukaran Mahmud Abu Bekir selaku pemohon untuk membayar jumlah mutaah yang besar dalam masa singkat iaitu secara ansuran selama tiga bulan bermula 31 Mac ini.

“Mahkamah juga mengambil kira faktor jumlah perlu dibayar adalah besar dan memaksa pemohon membuat pinjaman, yang akan menyebabkan kerugian yang tidak boleh diperolehi semula atau harta benda yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

“Selepas berpuas hati dengan segala fakta dikemukakan, mahkamah membenarkan permohonan penggantungan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan,” kata hakim.

Pada 10 Mac lalu, Muhamad Abdul Karim memerintahkan Mahmud Abu Bekir membayar jumlah tersebut selepas memutuskan bahawa Shahnaz, 53, berhak menerima tuntutan (RM30 juta) selain mengambil kira kesedihan akibat diabaikan lebih 10 tahun oleh Mahmud Abu Bekir. Pada 9 Jun 2011, Shahnaz merupakan kakak kepada penyanyi ratu jazz negara, Shiela Majid, diwakili peguam Dr Mohd Rafie Shafie memfailkan tuntutan mutaah tersebut sebanyak RM100 juta.

Pasangan itu, yang berkahwin pada 9 Jan 1992, dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 23, namun pada pada 11 Mei 2011 mereka bercerai dengan talak satu.

ARTIKEL YANG SAMA