Mahrajan Hafl Al-Takharruj labuh tirai

Mahrajan Hafl Al-Takharruj labuh tirai

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Mahrajan Hafl Al-Takharruj atau lebih dikenali sebagai Pesta Konvokesyen Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berakhir dengan majlis penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada peserta-peserta yang ikut serta dalam peraduan-peraduan yang dianjurkan oleh pihak Jawatankuasa Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-5.

Majlis penyampaian hadiah dan sijil tersebut berlangsung di Dewan Serbaguna, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dan telah disempurnakan oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Mahrajan Hafl Al-Takharruj yang berlangsung selama lima hari itu mengetengahkan tema ‘Bahasa Arab dan Tamadun Islam Pemangkin Generasi Zikir,’ di mana ia dimeriahkan dengan pelbagai program dan aktiviti berbentuk keagamaan, akademik dan informatif.

Galeri Pameran UNISSA dan beberapa kedutaan Arab telah ikut serta dalam Mahrajan ini dan tidak ketinggalan gerai-gerai jualan dan beberapa pertandingan.

Dalam pertandingan Mari Bercerita kategori bahasa Arab, ia telah dimenangi oleh Dayang Iman Alhumaira binti Haji Ahmad Abdussalam, manakala bagi kategori bahasa Inggeris telah dimenangi oleh Dayang Nur Ameerah Arifah binti Nor Faizan, keduanya mewakili Sekolah Al-Falah.

Antara para tetamu majlis Mahrajan Hafl al-Takharruj bergambar ramai bersama para peserta yang ikut peraduan-peraduan yang dianjurkan.
Antara para tetamu majlis Mahrajan Hafl al-Takharruj bergambar ramai bersama para peserta yang ikut peraduan-peraduan yang dianjurkan.
Antara mereka yang terlibat dalam Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-5.
Antara mereka yang terlibat dalam Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-5.
Salah satu acara yang memeriahkan Mahrajan Hafl Al-Takharruj.
Salah satu acara yang memeriahkan Mahrajan Hafl Al-Takharruj.

Sementara itu, dalam pertandingan Rekacipta (Modul) Seni Bina Islam pula, ia telah dimenangi oleh Kumpulan Sahara Design dari Politeknik Brunei dengan ahlinya terdiri daripada Awang Mohd Noradha Shah bin Sarugi, Awang Syahin Syahwan bin Haji Suhaili, Awang Mohd Marzuqi bin Haji Ibrahim dan Dayang Nur Zahidah binti Haji Hussin.

Dalam Pertandingan Fotografi Islamik pula pemenangnya ialah Haji Mohammad Khairul Rawandi bin Haji Abdullah mewakili Kolej IGS Brunei manakala Awang Bolhannuddin bin Haji Abdul Wahab telah memenangi Pertandingan Menulis Khat Jawi.

Pertandingan Pemangkin Zikir pula telah dijuarai oleh Awang Adi Asmat bin Lamat dari UNISSA.

Salah satu aktiviti yang unik dalam Mahrajan tahun ini ialah pertandingan Tanda Tangan Tulisan Jawi yang telah ditandingkan pada setiap hari dan keputusannya telah diumumkan pada Majlis Penutup Mahrajan Hafl Al-Takharruj.

Program ‘Lakastah Belajar Bahasa Al-Quran’ yang dikendalikan oleh Dekan Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad, adalah antara yang menarik perhatian orang ramai.

Program tersebut bertujuan membantu orang ramai dalam menyebut huruf-huruf Al-Quran dengan betul, di samping dapat memahami perkataan dan ayat-ayat dalam Al-Quran. Ia juga bertujuan melatih orang ramai untuk bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa Arab.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Duta Besar Kuwait ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr. Fahad Mashary Al-Thafirin dan beberapa orang perwakilan dari kedutaan Qatar, Oman dan Arab Saudi.

ARTIKEL YANG SAMA