Mahrez pemain terbaik Afrika

Mahrez pemain terbaik Afrika

ABUJA, 6 Jan – Penyerang Algeria, Riyad Mahrez telah terpilih sebagai Pemain Terbaik Afrika selepas dia menginspirasikan kisah hebat Leicester City bagi kejuaraan Liga Perdana musim lepas.

Mahrez, 25, telah menewaskan kapten Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang, yang telah meraih gelaran itu pada tahun lepas, dan kini terpaksa berpuas hati berada di tempat kedua, dengan bintang Senegal, Sadio Mane dari Liverpool berada di tempat ketiga.

Penyerang kelahiran Perancis itu berkata bahawa ia merupakan satu penghormatan besar kerana telah dinamakan sebagai Pemain Terbaik Afrika.

“Ia merupakan satu penghormatan besar, saya gembira dan senang hati. Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakan sepasukan saya di Leicester dan Algeria,” kata Mahrez selepas menerima anugerahnya.

“Saya dedikasikan ini kepada keluarga saya dan kesemua mereka yang menyokong saya setiap hari.”

Riyad Mahrez (kiri) ketika menerima piala daripada Menteri Sukan Nigeria, Solomon Dalung (tengah) dan Presiden CAF, Issa Hayatou selepas dimahkotakan Pemain Terbaik Afrika di Abuja. – AFP
Riyad Mahrez (kiri) ketika menerima piala daripada Menteri Sukan Nigeria, Solomon Dalung (tengah) dan Presiden CAF, Issa Hayatou selepas dimahkotakan Pemain Terbaik Afrika di Abuja. – AFP

Leicester telah mencetuskan kejutan besar apabila menjadi bukan pilihan memenangi Liga Perdana musim lepas.

Mahrez memainkan peranan penting dalam kejayaan The Foxes itu dengan menghasilkan 17 gol, 10 asis dalam 37 penampilan. Dia merupakan warga Algeria pertama untuk memenangi pingat kejuaraan Liga Perdana.

Kemenangannya itu juga mengakhiri ketiadaan selama 19 tahun pemain dari utara Afrika sejak Mustapha Hadji dari Maghribi menaiki podium pada 1998.

Pemain Nigeria, Asisat Oshoala telah meraih Pemain Wanita Terbaik Afrika buat kali kedua dengan jaringan-jaringannya mengekalkan Nigeria sebagai juara benua di Cameroon.

Kali pertama pemain bintang Arsenal Ladies memenangi anugerah tersebut adalah ketika dia membantu Super Falcons menjadi juara Afrika pada 2014.

Pemain muda Nigeria, Kelechi Iheanacho dan Alex Iwobi masing-masing telah memenangi Pemain Paling Berbakat dan Pemain Belia Terbaik.

Pengadil dari Gambia, Bakary Papa Gassama telah memenangi Anugerah Pengadil Terbaik bagi tiga tahun berturut-turut. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA