Mahrez Pemain Terbaik Tahunan PFA

Mahrez Pemain Terbaik Tahunan PFA

LONDON, 25 April – Penyerang Leicester City, Riyad Mahrez semalam dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) Inggeris pada majlis yang diadakan di kota London, England.

Pemain berusia 25 tahun itu adalah pemain The Foxes dan Afrika pertama memenangi anugerah berkenaan.

Dia merembat 17 gol dan melakukan 11 umpanan dalam 34 perlawanan liga untuk membantu Leicester menghampiri kejuaraan liga tertinggi Inggeris sulung mereka. Mahrez menewaskan rakan sepasukan, Jamie Vardy dan N’Golo Kante, selain penyerang Tottenham Hotspur Harry Kane; arkitek Arsenal, Mesut Ozil dan Dimitri Payet dari West Ham untuk anugerah berkenaan.

Pemain kebangsaan Algeria itu berterima kasih kepada sumbangan rakan sepasukan dan pengendali, Claudio Ranieri di atas kejayaannya itu.

“Semua pujian adalah untuk mereka,” kata Mahrez yang menyertai Leicester dari kelab divisyen dua Perancis, Le Havre pada Januari 2014.

Pemain penyerang Leicester City, Riyad Mahrez yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) Inggeris. - AP
Pemain penyerang Leicester City, Riyad Mahrez yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) Inggeris. – AP

“Dan bagi pengendali serta pegawai pasukan, tanpa mereka saya tidak akan memenangi anugerah ini dan saya tidak mampu menjaringkan gol.

“Ia adalah kerja berpasukan dan saya mahu berkongsi kejayaan ini dengan mereka. Ia amat istimewa kerana jika pemain-pemain mengundi saya, ia disebabkan mereka melihat sendiri kemampuan saya tahun ini, jadi saya amat gembira.

“Tanpa rakan sepasukan juga saya tidak akan mendapat anugerah ini.”

Mahrez juga menyatakan rasa bangganya menjadi pemain Afrika pertama menerima anugerah berkenaan yang tahun lalu dimenangi perancang Chelsea, Eden Hazard.

“Saya berbangga menjadi pemain Afrika pertama bukan yang terbaik tetapi yang pertama,” katanya.

Pemain tengah Spurs, Dele Alli, 20, memenangi Anugerah Pemain Muda Terbaik dengan pasukannya masih mengekori pendahulu untuk memburu kejuaraan liga pertama sejak tahun 1961. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA