Mahrez, Vardy bukan untuk dijual – Ranieri

Mahrez, Vardy bukan untuk dijual – Ranieri

LONDON, 15 Dis (Agensi) – Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri menegaskan dua bintangnya, Riyad Mahrez dan Jamie Vardy tidak akan dijual sekalipun mendapat tawaran yang tinggi.

Kedua-dua pemain itu meledak gol ketika menewaskan juara bertahan, Chelsea 2-1, awal pagi tadi dan pengurus itu gembira dengan prestasi yang diperagakan anak buahnya itu.

Tiga mata yang diraih menyaksikan mereka kembali merampas puncak carta Liga Perdana Inggeris dari Arsenal, dan Ranieri mengakui, situasi itu seperti mimpi yang indah.

“Terdapat terlalu banyak tenaga pada malam ini (awal pagi tadi), tanpanya kami hanyalah sebuah pasukan biasa tetapi dengan sokongan penyokong, kami sangat gembira.

“Mereka meneruskan untuk bermimpi tetapi kami perlu meletakkan diri kami di dunia nyata. Saya memberitahu pemain, lima mata lagi pasukan akan berada di kedudukan selamat. Jadi, saya fikir saya akan mengubah sasaran awal musim sekiranya kami mencapai 40 mata.

“Ini masa yang ajaib dan kami perlu meneruskan usaha keras ini kerana saya tidak mahu bangkit dari mimpi, saya mahu terus bermimpi bersama penyokong.”

Dan mengulas mengenai kedudukan kedua-dua bintang berharganya itu, Ranieri berkata: “Tidak ada sesiapapun yang boleh membeli mereka. Mereka tidak ada wang. Mereka juga tidak mempunyai sebarang tanda harga.”