Mahu ikut jejak kejayaan ibu

Mahu ikut jejak kejayaan ibu

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 9 Jun – Melentur buluh biarlah daripada rebungnya, itulah moto seorang ibu yang mahu melihat anaknya mengikut jejak dalam perniagaan francais tudung yang terkenal dan menjadi trend semasa, iaitu jenama tudung Bokitta.

Pengiran Sulfiah binti Pengiran Abdul Razak, berhasrat melatih anak perempuan sulungnya, Dayang Afiqah Basyirah binti Mohd Anuar untuk meneruskan dan mengembangkan lagi francais jualan tudung dari Lubnan itu.

Beliau yang mula berniaga tudung yang mudah dipakai dengan hanya sarung tanpa lilitan, melalui tempahan dalam talian sahaja, kemudiannya mengambil keputusan untuk memulakan francais perniagaan dan menjadi pengedar Bokitta di Lumut, Belait.

“Pada awalnya, Bokitta belum begitu popular dalam kalangan wanita di sini, dan agak sukar juga untuk menya-kinkan dan mempromosikan jenama tersebut, tetapi alham-dulillah pada tahun 2015, Bokitta telah banyak mengubah produknya itu dari segi material, rekabentuk dan sebagainya sehingga ianya kini menjadi kegemaran ramai kaum wanita,” tambah Pengiran Sulfiah, yang juga mempunyai beberapa perniagaan lainnya termasuk dalam bidang binaan.

Beliau yang agak sibuk dengan perniagaan lain, mahu anaknya menguruskan kedai yang baru-baru ini dibuka di kawasan komersial Kampung Lumut agar pelanggan berpeluang untuk memilih sendiri secara dekat tudung-tudung Bokitta yang pelbagai rekaan dan warna.

Pengiran Sulfiah bersama anak perempuannya Dayang Afiqah Basyirah, yang mahu mengikut jejak ibunya sebagai seorang peniaga wanita yang berjaya.
Pengiran Sulfiah bersama anak perempuannya Dayang Afiqah Basyirah, yang mahu mengikut jejak ibunya sebagai seorang peniaga wanita yang berjaya.

Salah seorang pelanggannya, Dayang Hajah Noraini binti Haji Daud, memberitahu, dia amat gembira kerana kedai Bokitta sudah ada di daerah itu dan mudah baginya membuat pilihan berbanding melihatnya dalam talian.

Malahan, kedai Bokitta di sana juga menjual rekaan eksklusif yang belum pernah dijual di tempat lain dan itu merupakan kejutan istimewa kepada pelanggan Bokitta.

Menurut Pengiran Sulfiah,  “Hampir 100 orang dalam kalangan pelanggan dan peminat setia Bokitta, mengunjungi kedai kami pada hari pertama pembukaan, dan pelanggan terus berkunjung sehingga ke hari ini, semuanya datang dari Daerah Brunei Muara, Tutong dan Belait,” tambahnya.

Sementara itu, anaknya, Dayang Afiqah Basyirah, 18, yang juga merupakan penuntut bidang Kejuruteraan Maritim Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah pada masa ini, memberitahu, semasa menunggu keputusan Peperiksaan ‘O’ Level, dia mahu mencari pekerjaan, tetapi tidak digalakkan oleh ibunya, dan disarankan untuk membantu ibunya berniaga.

“Bermula dari sana saya mula berminat, melihat kejayaan ibu, dan saya mahu membantunya untuk menambah majukan lagi perniagaan, tetapi saya tetap memerlukan tunjuk ajar daripada ibu saya, dan untuk langkah seterusnya saya juga telah menambahkan produk dengan menjual jubah jenama kami sendiri yang dinamakan Koleksi Bashirah, yang juga turut mendapat sambutan positif daripada pelanggan di negara ini,” katanya.

Apabila ditanya, apakah ada rancangan untuk menambahkan lagi cawangan kedai Bokitta Hijab Lumut, Pengiran Sulfiah menjelaskan, mereka setentunya akan meluaskan lagi perniagaan hijab wanita itu, dengan membuka beberapa buah cawangan lain di kawasan Tutong dan Belait, selain akan memperluaskan corak promosi perniagaan mereka melalui website.

ARTIKEL YANG SAMA