Mahu pemulihan banduan tertentu dilaksanakan di S’wak

Mahu pemulihan banduan tertentu dilaksanakan di S’wak

KUCHING, 21 Feb (Bernama) – Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mahu program pemulihan pemasyarakatan bagi kategori banduan tertentu turut dilaksanakan di penjara Sarawak.

Beliau berkata program pemulihan berkesan dan yang disusun rapi itu boleh membawa hasil positif kepada banduan dan masyarakat.

“Melalui pelaksanaan program ini, banduan terbabit tidak akan lagi terdorong untuk kembali melakukan jenayah, manakala masyarakat pula akan bersedia menerima mereka tanpa perasaan syak atau ragu,” katanya dalam ucapan pada majlis sambutan Hari Penjara Peringkat Kebangsaan ke-226 di Padang Merdeka di sini hari Sabtu, yang diadakan untuk julung kalinya di Sarawak.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kemajuan Tanah negeri Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri.

Program pemulihan berkenaan kini dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan di Semenanjung dan Sabah.

Sementara itu, Adenan memuji Jabatan Penjara Sarawak kerana melaksanakan dengan jayanya pelbagai program seperti Program Parol, Perkhidmatan Rumah Perantaraan dan Perintah Kehadiran Wajib sebagai sebahagian daripada program pemulihan banduan.

“Saya difahamkan bahawa sejak 2008, kira-kira 818 banduan dan pesalah mengikuti program itu.

“Statistik bagi 2015 hingga Januari 2016 menunjukkan hanya seorang daripada mereka kembali melakukan kesalahan dan dimasukkan semula ke penjara,” katanya.