Mainz lebur rekod Bayern

Mainz lebur rekod Bayern

BERLIN, 3 Mac (AFP) – Pep Guardiola mengakui Bayern Munich bakal berdepan cabaran getir di Borussia Dortmund, Sabtu ini dalam pertarungan memenangi gelaran Bundesliga buat kali keempat selepas tewas mengejut kepada Mainz di Bavaria, semalam.

Kekalahan mengejut 2-1 itu bukan sahaja menyaksikan jurang mata Bayern dengan pasukan di tempat kedua, Dortmund tinggal lima mata, tetapi juga rekod 100 peratus kemenangan di laman sendiri musim ini, musnah.

Dortmund menerima kunjungan Bayern dalam pertarungan dua pasukan teratas liga dalam tempoh tiga hari lagi dan Guardiola mengakui pasukannya perlu bangkit segera.

Jika tewas, ia adalah kekalahan kedua berturut-turut Bayern sekali gus membolehkan Dortmund mengekori hanya dengan dua mata tatkala saingan berbaki sembilan perlawanan.

Reaksi pemain Bayern selepas tewas kepada Mainz di Allianz Arena, kelmarin. – Reuters
Reaksi pemain Bayern selepas tewas kepada Mainz di Allianz Arena, kelmarin. – Reuters

Tetapi pengurus dari Sepanyol itu berkata, Bayern tidak beraksi baik ketika menentang Mainz apabila mereka gagal menjelmakan 78 peratus penguasaan bola kepada kemenangan.

“Persembahan kami tidak cukup bagus, tetapi saya tidak sedih,” kata Guardiola, yang berada dalam musim terakhir di Munich sebelum ke Manchester City, musim depan. Bayern memenangi trofi itu sejak tiga tahun lalu, dengan mencipta rekod pada 2014 apabila mengesahkan kejuaraan biarpun berbaki tujuh perlawanan. Tetapi Guardiola berkata masa itu sudah berakhir.

“Tiada pasukan yang memenangi Bundesliga sebanyak empat kali berturut-turut. “Pasukan Borussia Dortmund berbeza sama sekali berbanding tiga tahun lalu dan kami perlu bertarung sehingga ke perlawanan terakhir.”

ARTIKEL YANG SAMA