Majikan boleh didenda $3,000

Majikan boleh didenda $3,000

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Tabung Amanah Pekerja (TAP), hari ini, meneruskan lagi jerayawara bagi majikan-majikan baru berdaftar yang diadakan buat kali ke-19 sejak ia dimulakan pada Januari lalu di keempat-empat daerah.

Jerayawara kepada majikan yang berlangsung di Bilik Persidangan, Tingkat 11, Bangunan Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), di sini, itu merupakan salah satu ‘reaching out’ dalam mempermudah lagi hal ehwal pengurusan TAP dan SCP kepada pekerja-pekerja tempatan mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, antara taklimat yang disampaikan adalah mengenai Akta TAP dan Perintah SCP, tatacara dan kaedah pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja, serta kemudahan perkhidmatan online e-Amanah.

Penolong Pengurus dari Unit Penguatkuasaan TAP, Awang Husraime bin Hussin menerangkan mengenai tanggungjawab majikan dalam mendaftarkan dan membayar caruman TAP dan SCP pekerja-pekerja mereka yang memenuhi pensyaratan, termasuk pekerja kontrak, pekerja bergaji hari, pekerja sementara dan pekerja yang dalam tempoh percubaan.

Beliau menekankan bahawa menjadi kesalahan bagi majikan yang gagal mendaftarkan dan membayar caruman TAP dan SCP pekerja mereka. Sekiranya sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak lebih daripada $3,000 bagi kesalahan pertama dan $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Antara yang hadir dalam taklimat tersebut di Bilik Persidangan, Tingkat 11, Bangunan Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB).
Antara yang hadir dalam taklimat tersebut di Bilik Persidangan, Tingkat 11, Bangunan Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB).

Manakala itu, taklimat mengenai tatacara pembayaran caruman TAP dan SCP pula telah disampaikan oleh Pemangku Pengurus dari Unit Pemprosesan Data dan Pemeliharaan, Dayang Siti Farhana binti Borhanuddin.

Dalam memudahkan majikan membuat perkiraan caruman TAP dan SCP, TAP telah menyediakan kaedah pengiraan satu jumlah pembayaran (One Payment) yang boleh dimuat-turun melalui sesawang TAP di alamat www.tap.com.bn.

TAP turut memberigakan mengenai perkhidmatan online e-Amanah, yang memberikan kemudahan bagi menguruskan hal ehwal pendaftaran dan caruman TAP dan SCP pekerja-pekerja secara online tanpa perlu mengunjungi kaunter-kaunter TAP.

Penolong Pengurus dari Unit Cawangan TAP, Dayang Siti Radziah binti Lamudin menerangkan, ia adalah selaras dengan usaha TAP dalam memberikan perkhidmatan yang efisien, efektif dan mudah kepada majikan.

Melalui e-Amanah juga, majikan boleh mengemaskini butir-butir pekerja, dan membuat perjanjian bersama TAP secara online.

Selain daripada taklimat yang disampaikan oleh pegawai-pegawai TAP, jerayawara ini turut menyediakan petak e-Amanah bagi membolehkan majikan melihat lebih dekat lagi kemudahan menggunakan perkhidmatan online ini.

Para majikan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai jerayawara ini bolehlah menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja.

ARTIKEL YANG SAMA