Majikan diingat sediakan kontrak perkhidmatan

Majikan diingat sediakan kontrak perkhidmatan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Okt – Majikan diingatkan agar menyediakan kontrak perkhidmatan khususnya bagi pekerja tempatan di negara ini.

Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof berkata, setiap pemeriksaan yang dibuat oleh Jabatan Buruh sering mendapati perusahaan dan perniagaan atau syarikat gagal menyediakan kontrak perkhidmatan khusus bagi pekerja tempatan di negara ini.

Bukan setakat itu, majikan, pengurus dan penyelia turut memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan di tempat kerja, kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan pekerja dengan menyediakan persekitaran kerja yang selamat.

Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan ucapan di Jerayawara Pemberigaan Undang-undang Perburuhan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Tripartite, jabatan berkenaan hari ini.

Menurut Haji Rani, persekitaran kerja yang selamat itu seperti memastikan jentera, peralatan dan kelengkapan kerja diperiksa dan dipelihara setiap masa bagi mengelakkan insiden maut atau kecederaan yang tidak diingini berlaku dan pada tahap minima.

Haji Rani bersama pegawai yang menyampaikan taklimat pada Jerayawara Pemberigaan Undang-undang Perburuhan Negara Brunei Darussalam.
Haji Rani bersama pegawai yang menyampaikan taklimat pada Jerayawara Pemberigaan Undang-undang Perburuhan Negara Brunei Darussalam.
Sebahagian daripada majikan, pengurus sumber manusia, pegawai perhubungan dan penyelia yang menghadiri jerayawara kelmarin.
Sebahagian daripada majikan, pengurus sumber manusia, pegawai perhubungan dan penyelia yang menghadiri jerayawara kelmarin.
Buku Panduan Undang-undang Pekerjaan Negara Brunei Darussalam yang diagihkan di jerayawara itu.
Buku Panduan Undang-undang Pekerjaan Negara Brunei Darussalam yang diagihkan di jerayawara itu.

“Ini juga sangat penting untuk meningkatkan persekitaran pekerjaan kondusif, harmoni, selamat dan lebih produktif,” tambahnya.

Jerayawara hari ini adalah untuk memberikan kefahaman dan meningkatkan kesedaran kepada orang ramai terutama majikan dan pekerja di sektor swasta mengenai undang-undang dan peraturan perburuhan di negara ini melalui sesi taklimat dan dialog.

Jerayawara ini diteruskan dengan pengagihan buku Panduan Undang-undang dan Peraturan-Peraturan Pekerjaan di Negara Brunei Darussalam yang mana penerbitan versi kedua buku ini boleh didapati dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

Buku tersebut mengandungi maklumat ringkas mengenai Perintah Pekerjaan 2009, Perintah Agensi Pekerjaan 2004, Perintah Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2009, Akta Pampasan Pekerja 1957 dan Akta Maklumat Pekerjaan 1974 selain senarai Semak Majikan dalam penyediaan Kontrak Perkhidmatan, contoh Kontrak Perkhidmatan dan tatacara membuat aduan bagi sebarang pertikaian perburuhan.

Jerayawara dihadiri oleh majikan, pengurus sumber tenaga manusia, pegawai perhubungan dan penyelia yang diharap dapat menyampaikan maklumat tersebut kepada pekerja, seterusnya diterapkan dalam peraturan atau syarat syarikat masing-masing.

Daerah Brunei dan Muara merupakan daerah kedua jerayawara tersebut diadakan setelah Daerah Temburong pada 10 Oktober 2015 dan akan dilaratkan ke Daerah Belait dan Tutong.

Pada jerayawara itu, para hadirin diberikan taklimat oleh Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Bahagian Kesihatan dan Keselamatan Tempat Kerja dan Unit Agensi Pekerjaan.

ARTIKEL YANG SAMA