Majikan diseru bayar gaji menarik

Majikan diseru bayar gaji menarik

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 16 Nov – Jika pekerja tempatan menghadapi masalah dengan majikan seperti gaji lambat dibayar, atau tidak dibayar gaji, atau tidak diberikan waktu rehat, selain gaji kerja lebih masa tidak dibayar, mereka boleh menghadapkan perkara berkenaan ke Jabatan Buruh.

Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof memberitahu bahawa pihaknya juga akan mengadakan rundingan dengan majikan-majikan supaya keistimewaan yang diberikan kepada pekerja asing juga diberikan kepada kalangan pekerja tempatan.

“Majikan juga perlu membayar gaji yang menarik kepada pekerja tempatan, seperti memberikan kenaikan gaji dan sebagainya untuk meningkatkan semangat mereka bekerja dengan syarikat swasta,” katanya semasa ditemui media selepas Majlis Jerayawara Pemberigaan Undang-undang Perburuhan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Persidangan dekat sini, hari ini.

Haji Rani ketika menjelaskan mengenai Perintah Pekerjaan 2009.
Haji Rani ketika menjelaskan mengenai Perintah Pekerjaan 2009.

Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, melalui jerayawara berkenaan berharap dapat memberikan kefahaman dan meningkatkan kesedaran orang ramai terutamanya para majikan dan pekerja-pekerja di sektor swasta mengenai undang-undang dan peraturan-peraturan perburuhan di negara ini, serta hak-hak mereka selaku majikan dan pekerja seperti yang tertera di dalam Perintah Pekerjaan 2009.

Dengan itu, pihak jabatan itu juga berharap supaya tidak akan timbul masalah perburuhan dan juga aduan-aduan daripada pekerja yang berhubung kait dengan isu perburuhan.

Dalam ucapannya, Haji Rani juga menekankan pentingnya setiap majikan untuk menyediakan kontrak perkhidmatan dan hendaklah sentiasa mematuhi syarat-syarat Lesen Pengambilan Pekerja Asing yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh.

ARTIKEL YANG SAMA