Majikan diseru sedia kontrak bertulis

Majikan diseru sedia kontrak bertulis

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Para majikan diingatkan supaya menyediakan kontrak perkhidmatan bertulis dan teratur khususnya bagi para pekerja tempatan di negara ini agar isu perburuhan tidak timbul.

Peringatan itu ditekankan oleh Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof semasa Jerayawara Pemberigaan Undang-undang Perburuhan Negara Brunei Darussalam bagi Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.

Haji Rani turut memberikan peringatan kepada para majikan untuk mematuhi syarat-syarat Lesen Pengambilan Pekerja Asing yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh yang mana sebarang pelanggaran seperti kesalahan penempatan pekerja dan penyalahgunaan jawatan yang tidak selaras dengan kebenaran lesen, pihak Jabatan Buruh tidak akan teragak-agak untuk mengurangkan kebenaran kuota lesen, membatalkan pengambilan pekerja asing yang telah diberikan serta pekerja akan diarahkan untuk pulang ke negara asal mereka dengan serta-merta.

Haji Rani turut menekankan isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja di mana ia menjadi tanggungjawab mana-mana pegawai atau individu yang telah dilantik khusus bagi menangani sebarang isu keselamatan.

Haji Rani memberikan peringatan kepada para majikan untuk menyediakan kontrak perkhidmatan bertulis dan teratur bagi pekerja tempatan di negara ini.
Haji Rani memberikan peringatan kepada para majikan untuk menyediakan kontrak perkhidmatan bertulis dan teratur bagi pekerja tempatan di negara ini.
Sebahagian majikan dan pekerja yang menghadiri jerayawara di Dewan Serba guna, Jabatan Bomba dan Penyelamat, kelmarin.
Sebahagian majikan dan pekerja yang menghadiri jerayawara di Dewan Serba guna, Jabatan Bomba dan Penyelamat, kelmarin.

“Pemilik syarikat itu sendiri juga diseru untuk lebih proaktif dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja agar diberikan keutamaan dengan menyediakan persekitaran kerja yang selamat dengan memastikan jentera, peralatan dan kelengkapan kerja diperiksa dan dipelihara setiap masa supaya sebarang insiden atau kecederaan yang berlaku adalah pada tahap minimum,” tekan beliau lagi.

Haji Rani juga menyentuh mengenai perkembangan Sistem Kawalan Buruh (Labour Control System) iaitu sistem yang diperkenalkan oleh Jabatan Buruh pada 23 Jun 2015 di mana permohonan-permohonan di Jabatan Buruh boleh dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang LCS iaitu www.lcs.gov.bn.

Antara permohonan yang boleh dibuat dalam talian melalui sistem itu adalah permohonan baru, memperbaharui dan tambahan bagi Lesen Perkhidmatan Rumah tangga Persendirian (Amah) Baru dan Memperbaharui, permohonan baru, memperbaharui dan tambahan bagi lesen syarikat, permohonan Sokongan Pas kerja BUR500 dan BUR555, permohonan banci pekerja, permohonan kewangan-pembayaran wang taruhan Lesen Amah dan Syarikat serta permohonan Lesen Agensi Pekerjaan.

“Sistem itu dihasratkan untuk memberikan kemudahan kepada para pemohon bagi pelbagai permohonan yang diperlukan serta mempercepatkan lagi urusan permohonan secara dalam talian.

“Sistem berkenaan sentiasa dipantau dan dikemas kini untuk memastikan ia berjalan dengan lancar yang mana isu-isu yang dihadapi atau aduan daripada para pemohon disalurkan kepada pihak yang berkenaan untuk memperbaiki lagi mutu perkhidmatan,” kata beliau lagi.

Jerayawara berkenaan diadakan dalam dua sesi yang dihadiri oleh majikan, pekerja asing dan tempatan, dengan sesi pagi dihadiri kira-kira 600 orang dan sesi petang oleh kira-kira 400 orang.

Ia diisi dengan taklimat yang disampaikan oleh para pegawai dari Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Bahagian Teknologi Maklumat, Bahagian Kesihatan dan Keselamatan Tempat Kerja, Bahagian Piawaian Perburuhan dan Agensi Pekerjaan serta Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK).

Mereka yang hadir juga diberikan buku ‘Panduan Undang-undang dan Peraturan-peraturan Pekerjaan di Negara Brunei Darussalam’, iaitu versi kedua yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang mengandungi maklumat ringkas mengenai Perintah Pekerjaan 2009, Perintah Agensi Pekerjaan 2004, Perintah Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2009, Akta Pampasan Pekerja 1957 dan Akta Maklumat Pekerjaan 1974, Senarai Semak Majikan dalam penyediaan Kontrak Perkhidmatan, Contoh Kontrak Perkhidmatan serta tatacara membuat aduan bagi sebarang pertikaian kerja.

Menurut Jabatan Buruh, buku panduan itu juga boleh dimuat turun melalui laman sesawang Jabatan Buruh iaitu www.labour.gov.bn.

Jerayawara turut diadakan di Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Temburong itu bertujuan untuk memberikan kefahaman dan meningkatkan kesedaran orang ramai terutama majikan dan pekerja sektor swasta mengenai undang-undang dan peraturan perburuhan di negara ini serta hak-hak mereka yang termaktub di dalam Perintah Pekerjaan 2009.

Para majikan dan pekerja yang menghadiri taklimat itu diharap dapat menyampaikan maklumat kepada rakan mereka yang lain untuk diterapkan ke dalam peraturan syarikat masing-masing.

Jabatan Buruh percaya perkara itu perlu dilaksanakan sebagai mekanisme pencegahan supaya tidak ada timbul masalah perburuhan dan juga aduan-aduan daripada pekerja yang berhubung kait dengan isu perburuhan.

ARTIKEL YANG SAMA