Majikan perlu mematuhi peraturan, undang-undang

Majikan perlu mematuhi peraturan, undang-undang

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Jabatan Buruh mengingatkan orang ramai terutama sekali para majikan yang mengambil dan menggaji pekerja asing agar mematuhi peraturan dan undang-undang di bawah Perintah Pekerjaan 2009.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, di bawah Bab 80, Perintah Pekerjaan 2009, setiap majikan diwajibkan untuk menyediakan tempat tinggal bagi pekerja buruh yang digaji sama ada olehnya atau orang lain, di mana dia telah menandatangani kontrak perkhidmatan.

Majikan juga perlu menyediakan dan menyelenggarakan pekerja itu dan tanggungannya seperti tempat tinggal bersih yang mencukupi dan sempurna, bekalan air selamat yang mencukupi dan penyusunan kebersihan yang sempurna.

Tempat tinggal untuk pekerja haruslah sesuai dengan persekitaran yang bersih dan selamat, memenuhi keperluan asas seperti keperluan sanitasi, dobi, memasak, bekalan air yang mencukupi dan bersih dengan langkah-langkah keselamatan yang teratur.

Mana-mana majikan yang gagal untuk menyediakan tempat tinggal dan keperluan kebersihan untuk pekerja buruh di bawah jaminannya, jika sabit kesalahan dikenakan denda tidak melebihi $3,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Di bawah Perintah Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2009, majikan juga mempunyai kewajipan untuk memastikan premis atau tempat kerja selamat dan sihat untuk pekerja mereka dan sesiapa sahaja di tempat kerja.

Jabatan Buruh sentiasa giat memantau dan menjalankan pemeriksaan untuk memastikan majikan mematuhi keperluan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 dan juga Perintah Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2009.

Jabatan Buruh mengambil berat tentang kebajikan dan keselamatan semua pekerja dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang tidak bertanggungjawab.

Dalam kenyataan itu juga, Jabatan Buruh menasihatkan orang ramai supaya melaporkan sebarang aduan berkenaan tempat tinggal pekerja atau mana-mana isu-isu perburuhan kepada Jabatan Buruh melalui hotline 2381848 atau melalui e-mel di led@buruh.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA