Majikan tidak bayar kerja lebih masa

Majikan tidak bayar kerja lebih masa

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai Seramai 30 orang pekerja asing telah diperiksa dalam Operasi Gempur 80/2016 oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Buruh di kawasan Kampung Kiulap, malam tadi, yang mana hampir kesemuanya didapati mempunyai masalah kesejahteraan.

Pemeriksaan yang bermula jam 10 malam itu melibatkan 10 buah kedai jahit di Kampung Kiulap.

Menurut Penolong Pesuruhjaya Buruh, Awang Zulhilmi bin Haji Abidin dalam kenyataannya, hari ini, menjelang Sambutan Hari Raya Aidilfitri, kebanyakan kedai-kedai jahit tutup lewat daripada hari-hari biasanya dan pemeriksaan berkenaan telah mendapati majikan dipercayai tidak membayar kerja lebih masa serta tidak memberi cuti rehat satu hari dalam satu minggu sepertimana yang ditetapkan dalam Perintah Pekerjaan 2009.

Bagi kesalahan penempatan dan penyalahgunaan jawatan, pekerja asing akan diambil tin-dakan pembatalan/pengurangan kuota oleh Jabatan Buruh ke atas Kebenaran Lesen Mengambil dan Mengaji Pekerja Asing majikan dan pekerja berkenaan akan dibatalkan sokongan pas kerja dan dipulangkan ke negara asal.

Manakala itu, bagi kesalahan berikutan isu kesejahteraan pekerja asing, Jabatan Buruh akan mengambil tindakan tegas ke atas majikan, jelas beliau lagi.

Semasa Operasi Gempur 80/2016 dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Buruh di kawasan Kampung Kiulap, malam kelmarin.
Semasa Operasi Gempur 80/2016 dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Buruh di kawasan Kampung Kiulap, malam kelmarin.

Sehubungan dengan itu, beliau memberi peringatan kepada orang ramai dan majikan supaya tidak menyalahgunakan Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing yang diberikan yang mana kesalahan mengambil dan menggaji pekerja asing tanpa kebenaran Pesuruhjaya Buruh, boleh diambil tindakan di bawah Bab 112 (1) Perintah Pekerjaan, 2009, jika sabit kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang kesalahan di bawah Bab 112 (3) Perintah yang sama iaitu denda tidak kurang $6,000 dan tidak lebih $10,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai bolehlah menghubungi Bahagian Penguat-kuasaan Undang-Undang Jabatan Buruh di talian 2381848 jika mempunyai sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan Lesen Mengambil dan Mengaji Pekerja Asing.