Majlis 70 kali Khatam KHEU

Majlis 70 kali Khatam KHEU

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-70 Tahun, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran 70 kali khatam, baru-baru ini, sebagai sumbangan khas yang ikhlas warga kementerian kehadapan majlis Baginda Sultan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Majlis ini adalah sebagai pesambah istimewa untuk raja yang dikasihi dengan mengambil sukut suasana gembira dan penuh kesyukuran rakyat jelata dan seluruh penduduk Negara Brunei Darussalam dalam meraikan ulang tahun Hari Keputeraan Baginda.

Di samping itu, ia juga diadakan bagi memohon doa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala supaya Kebawah Duli Yang Maha Mulia dilanjutkan usia dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan hidayah dan ‘inayah Allah Subhanahu Wata’ala, seterusnya memohon kesejahteraan raja, keselamatan rakyat, keberkatan dan keamanan negara.

Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Ia juga dihasratkan agar pahala daripada pembacaan Al-Quran 30 Juzuk berkenaan dihadiahkan kepada Baginda dengan niat supaya dikabulkan segala hajat-hajat Baginda dalam memerintah Negara Brunei Darussalam ke arah kemakmuran, keamanan, kesejahteraan dan kemajuan serta sebagai satu usaha dalam merealisasikan wawasan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

Seramai 2,100 orang pegawai dan kakitangan KHEU yang terdiri daripada 45 kumpulan peserta lelaki dan 25 kumpulan peserta perempuan terlibat dalam khatam Al-Quran 70 kali itu.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin sebelum diteruskan dengan bacaan khatam Al-Quran beramai-ramai, dari Surah Ad-Dhuhaa hingga Surah An-Naas yang dibawakan oleh warga KHEU diikuti dengan bacaan Takhtim oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Kemudian, Dikir Marhaban dilaungkan oleh pegawai-pegawai Jabatan Pengajian Islam, KHEU, sementara itu, Doa Khatam dibacakan oleh Haji Hashim bin Abdullah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dibacakan oleh Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mat Jaya bin Haji Ibrahim.

ARTIKEL YANG SAMA