Majlis AIDS didik lebih 4,000 belia

Majlis AIDS didik lebih 4,000 belia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis – Sejak ditubuhkan 15 tahun lalu, Majlis AIDS telah melaksanakan pelbagai program kesedaran bagi golongan belia seperti HIV Awareness Programme for Peers & Youth (HAPPY), yang telah berjaya untuk mendidik lebih 4,000 orang belia.

Yang Di-Pertua Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam, Awang Iswandy bin Ahmad berkata, di samping itu, Program Kelab Penyinar juga telah melahirkan pemimpin-pemimpin belia dalam kerja HIV dan AIDS manakala kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta telah menyumbang ke arah meningkatkan kesedaran mengenai HIV dan AIDS dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Majlis AIDS 2015 bersempena dengan Hari AIDS Sedunia 2015, malam tadi yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib selaku Penasihat Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin, jemputan khas serta ahli-ahli Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman (duduh tengah) bergambar ramai dengan para jemputan lainnya dan para penerima Anugerah Reben Merah.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman (duduh tengah) bergambar ramai dengan para jemputan lainnya dan para penerima Anugerah Reben Merah.

Menurut Awang Iswandy, Majlis AIDS adalah antara persatuan yang masih mampu memberikan sumbangan walau dipimpin oleh ahli-ahli yang rata-rata berumur 30-an dan ke bawah, mampu menarik minat ahli belia untuk mengikuti program walaupun keahlian juga adalah dalam kalangan profesional dan mampu melaksanakan projek bersifat kebangsaan bersama agensi-agensi lain.

“Walaupun kemampuan kewangan adalah cabaran yang besar, semua itu telah menjadikan Majlis AIDS salah sebuah persatuan di Negara Brunei Darussalam yang cukup dikenali dan digalati dari segi sumbangan kepada kerja HIV dan AIDS secara khusus, dan pembangunan masyarakat dan belia secara umum.”

Beliau menyeru ahli-ahli Majlis AIDS yang lebih muda untuk mempersiapkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran supaya mereka nanti dapat menyambung kepimpinan Majlis AIDS.

Awang Iswandy turut mengumumkan pelancaran Pertandingan Klip Video anjuran Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam bersempena dengan Sambutan Hari AIDS Sedunia.

Pertandingan yang diadakan oleh ahli-ahli Kelab Penyinar, sepanjang Disember itu dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya belia remaja mengenai isu-isu HIV dan AIDS melalui platform media sosial.

Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman menyerahkan Anugerah Reben Merah kepada para penerima yang terdiri daripada mereka yang telah banyak memberikan sumbangan dan jasa sepanjang Majlis AIDS ditubuhkan dan juga bergiat aktif selama 10 tahun dalam menjalankan kerja sukarelawan.

Mereka ini juga boleh dikatakan sebagai orang kuat dan tulang belakang Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, sijil-sijil penghargaan juga disampaikan kepada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang telah menjalani Community Outreach Programme di Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam.

Mereka yang terlibat juga telah memberikan sumbangan tenaga dan masa dengan mengadakan program kesedaran ke sekolah-sekolah dan baru-baru ini mereka telah membuat projek Ribbon of Hope yang mana hasil kutipan derma daripada projek berkenaan akan disumbangkan kepada Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam.

Hasil kutipan daripada projek itu telah disampaikan oleh wakil kumpulan pelajar dari UBD berkenaan kepada Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam yang diwakili oleh Awang Iswandy. Majlis juga diserikan dengan persembahan sketsa oleh sukarelawan dari Pusat Promosi Kesihatan (HPC) dan ahli-ahli Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA