Majlis Berselawat Malam Cinta Rasul meriah

Majlis Berselawat Malam Cinta Rasul meriah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Majlis Berselawat Malam Cinta Rasul sempena Karnival Kembara Islam 1437H yang berlangsung Dewan Muhibah, Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas, malam tadi, telah mendapat sambutan orang ramai dengan dihadiri lebih 500 orang.

Dalam majlis berkenaan, ceramah telah disampaikan oleh Pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Habib Dr Syed Abdul Hamid Al Mahdaly yang antara lain menekankan kepentingan kehidupan berkeluarga.

Menurut beliau, salah satu etika atau adab untuk menggembirakan pasangan adalah dengan sentiasa menjaga keterampilan, sebagaimana Rasulullah SAW berketerampilan apabila berhadapan dengan isteri-isteri, antaranya sentiasa dalam keadaan yang wangi, menjaga bau badan dan lain-lain.

Terdahulu, majlis telah diserikan dengan persembahan qasidah yang dibawakan oleh Kumpulan Ghayatul Maram, Kelab Khidmat Pusat Belia, Kumpulan Ar-Redhwan dan penampilan Khas Kumpulan Al Mawlid.

Tetamu kehormat semasa melawat petak-petak jualan kelmarin.
Tetamu kehormat semasa melawat petak-petak jualan kelmarin.
Antara yang hadir pada persembahan Majlis Berselawat Malam Cinta Rasul.
Antara yang hadir pada persembahan Majlis Berselawat Malam Cinta Rasul.

Antara qasidah-qasidah yang dibawakan ialah ‘Allahumma Solli ‘Ala Muhammad’, ‘Allah Allah’, ‘Selawat Badar’ dan lain-lain.

Majlis berselawat diakhiri dengan Dikir Marhaban dan doa selamat sebagai penutup acara.

Karnival Kembara Islam 1437H anjuran Battle Pro Event dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara, membuka tirainya kelmarin dengan majlis perasmian yang diadakan di Dewan Muhibah, Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Hadir menyempurnakan perasmiannya ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

Karnival sehingga 1 Mei itu menumpukan kepada aktiviti-aktiviti yang berkonsepkan Islamik seperti Malam Cinta Rasul, Pertandingan Membaca Surah Al-Fatihah dan Azan bagi kanak-kanak yang berumur 11 tahun ke bawah serta turut diisikan dengan forum khas mengenai keusahawanan dengan mengetengahkan usahawan-usahawan muda tempatan.

Selain itu, karnival turut menampilkan gerai-gerai jualan yang merupakan platform terbaik bagi para pengusaha tempatan untuk mengetengahkan produk-produk jualan mereka kepada orang ramai.

Antara produk jualan yang diketengahkan adalah bersesuaian dengan tema karnival itu sendiri seperti ‘Makanan Sunnah’, pakaian-pakaian Muslim dan sebagainya. Sementara itu, Projek Satu Baju Satu Senyuman juga diteruskan semasa karnival itu berikutan sambutan yang sangat baik dan menggalakkan daripada orang ramai.

Manakala itu, pada hari terakhir pula, cabutan bertuah akan diadakan bagi para pengunjung yang menghadiri Karnival Kembara Islam 1437H.

Karnival bertujuan untuk memperingati Israk Mikraj, selain untuk berkongsi mengenai keindahan dan kecantikan Islam menerusi acara berkenaan kepada orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA